top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Kejadian-kejadian Aneh Di Hospital

Assalamualaikum KC,


Saya Juan, berasal dari Simpang Renggam, Johor. Saya rasa terpanggil untuk berkongsi cerita yang berlaku terhadap adik ipar saya sekitar tahun 2018. Mungkin cerita ini lebih kepada misteri daripada sesuatu yang menyeramkan. Yang penting, tiada sesiapa yang dapat mengesahkannya. Ceritanya begini.


Adik ipar saya telah dimasukkan ke hospital akibat mengalami demam dan jangkitan kuman pada paru-parunya. Hospital ini tidak jauh dari Simpang Renggam. Kerana keadaannya agak kritikal ketika itu, adik ipar saya ditahan di wad 9A. Pada malam pertama dia berada di wad tersebut, ketika dia sedang baring dan hendak tidur, tiba-tiba dia terperasan ada seorang jururawat yang sedang menolak seorang pesakit yang berada di atas katil, masuk ke dalam biliknya sambil lalu di depan katilnya. Tambahnya lagi, keadaan pesakit tersebut agak ngeri dengan mulut yang ternganga, matanya yang merah sambil terbeliak.


Pada hari keduanya, adik ipar saya telah mula meracau ibarat orang yang telah hilang ingatan. Sebabnya pada hari kedua, dia kata dia ternampak seorang lelaki tua sedang berjoget-joget dekat katil hujung biliknya. Bukan itu sahaja, pada sebelah malamnya ketika dia sedang tidur-tidur ayam, dia terdengar sekali lagi seorang jururawat menolak seorang pesakit masuk ke dalam wad. Dia terdengar jururawat tersebut berkata sesama mereka, "Yang ini aku punya, yang ini bahagian aku..." sambil dia terdengar bunyi besi-besi, bunyi seseorang sedang membuka laci, ibarat jururawat itu sedang menggeledah barang-barang pesakit, namun adik ipar saya tidak bangun dan hanya mendiamkan diri di atas katilnya.


Keesokkan paginya, adik ipar saya dikejutkan dengan pengumuman menerusi alat pembesar suara di dalam wad. Pengumuman itu berkata, "Perhatian! Kita punya seorang pesakit berumur dalam lingkungan dua puluh tujuh tahun, baru dapat cahaya mata sudah tahu rahsia kita. Apa yang perlu kita buat? Kita bagi dia pil dan selepas itu kita masukkan dia ke dalam lubang!" Pengumuman ini jelas didengari oleh adik ipar saya.


Dalam keadaannya yang sedang sakit, mestilah dia terasa takut apabila terdengar pengumuman seperti itu. Sejak hari itu adik ipar saya mula meracau. Dia menghantar mesej pesanan kepada isterinya (adik saya) dan bertanya soalan berulang-ulang kali, "Saya berada di mana? Kenapa saya berada di sini? Nanti awak ubatkan saya eh?" Secara dasarnya memang kita nampak dia seperti orang yang kurang siuman, tetapi setelah dia menceritakan apa yang dialami selama berada di sana, baru kami faham.


Alhamdulillah adik ipar saya dibenarkan pulang ke rumah dan telah sembuh sepenuhnya setelah seminggu terlantar di hospital. Kesimpulannya, dalam kita berada di dalam keadaan sakit atau lemah, sememangnya syaitan akan ambil peluang untuk menakut-nakutkan kita, samada dari segi bisikan mahupun bayangan.


Itu sahaja cerita dari saya. Selamat tengah malam...

950 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page