Salam KC,
Panggil saja saya Lyna. Cerita ini berlaku sebelas tahun yang lalu dan saya bekerja sebagai seorang pengurus restoran. Restoran di mana saya bekerja ditutup pada jam 10 malam. Pekerja sambilan saya pula habis jam 11 malam. Sam (bukan nama sebenar) merupakan pekerja kontrak luaran yang datang jam 11 malam - 1 pagi untuk membersihkan lantai dan saya sebagai pengurus harus tunggu semua pekerja habis untuk mengunci pintu restoran.
Pada satu malam, di dalam bilik pejabat saya sedang mengira duit pendapatan syarikat untuk hari tersebut, manakala Sam pula berada di ruang makan restoran sedang membersihkan lantai. Sebelum membersihkan lantai Sam akan terbalikkan kerusi dan letak di atas meja. Sedang fokus dengan pekerjaan, tiba-tiba saya ternampak kelibat seorang wanita Cina berjalan dari dapur menuju ke ruang makan. Dalam fikiran saya, saya sangkakan itu mungkin adalah pekerja sambilan yang mungkin tertinggal barang.
Tidak berapa lama, Sam masuk dengan muka yang takut dan pucat. Saya bertanyakan beliau kenapa? Dia tidak memjawab, hanya menggelengkan kepalanya seolah-olah tidak ada apa-apa. Saya pun tidak pedulikan beliau yang duduk di tepi saya dan menghabiskan kerja saya kerana masa hampir jam 1.30 pagi dan keesokan hari saya harus masuk kerja pada jam 8 pagi.
Setelah selesai pekerjaan, saya bertanya beliau samada beliau sudah habis melaksanakan tugasnya. Beliau menjawab, "Ma'am I will come at 8 am later to continue outside..." Bila saya lihat muka Sam yang pucat dan takut, saya teringat wanita Cina yang tadi ke ruang makan, kerana saya tidak nampak wanita itu lalu pulang. Saya bertanya kepada Sam, "Just now my staff went out to take something is it?". Sam tidak menjawab dan mukanya ibarat hairan dengan soalan saya dan di masa yang sama, kami berdua terdengar keriuhan di ruang makan seolah-olah ada orang yang sedang membalikkan kerusi.
Saya dan Sam bergegas ke ruang makan. Alangkah terperanjatnya, semua kerusi disusun menghadapi kami dan di sudut restoran ada kelibat wanita berbaju putih sedang berdiri melihat ke arah kami. Saya tidak dapat melihat wajahnya yang ditutupi rambut yang hitam panjang. Saya hanya bisa melihat matanya yang merah bagaikan biji saga. Dengan tidak membuang masa, saya dan Sam mencapai beg masing-masing dan kami meninggalkan restoran pada malam itu...
Terima kasih!
Comments