top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Kain Berkibar Atas Kepala

Assalammualaikum KC,


Nama saya Nur. Pengalaman misteri yang saya nak kongsikan terjadi semasa saya kecil lagi. Saya tak tahulah cerita ini seram atau tidak bagi pembaca blog dan penggemar Malam Seram, tapi cerita ini betul-betul menjadi kisah misteri bagi saya.


Waktu itu saya berumur sebelas tahun. Untuk pengetahuan semua, saya baru sahaja berpindah dari pekan berdekatan dan masuk ke sekolah pedalaman yang dekat dengan rumah baru yang kami tinggal. Nak dijadikan cerita ketika itu, sekolah saya ada mengadakan perkhemahan bersepadu. Tak silap saya ramai yang turut serta dan kami perlu bermalam di padang sekolah selama dua malam.

Setelah kami selesai menjalankan pelbagai aktiviti pada hari pertama, Tiba masa kami dibahagi-bahagikan untuk bermalam di khemah yang telah kami dirikan. Kami ada juga membuat ampaian sementara di belakang khemah. Waktu itu saya masih ingat lagi, saya berkongsi khemah bersama seorang kakak senior dan seorang rakan sebaya dengan saya. Sebelum masuk tidur, saya ada mencuci pakaian yang telah saya gunakan di siang hari dan saya menyidai pakaian tersebut. Maklumlah, nama pun perkhemahan, baju kotor dengan tanah merah dan lumpur kerana pada siang tersebut kami merentasi paya berdekatan.


Namun saya ragu-ragu kerana saya dapati cuaca pada malam itu, tidak berapa baik. Saya risau hujan akan turun. Saya ada menyatakan perasaan tidak sedap hati saya kepada kakak senior, tapi dia berkata kalau hujan turun, dia akan kejutkan saya untuk angkat pakaian saya. Jadi saya pun tinggalkan pakaian yang saya dah ampai tadi dan masuk ke dalam khemah untuk tidur.


Jam menunjukkan pukul 12 malam. Biasalah tidur berkongsi dalam khemah dalam keadaan kurang selesa. Agak susah untuk saya lelapkan mata. Tapi saya paksakan juga mata untuk pejam. Entah bila saya terlelap tiba-tiba saya tersedar kerana saya rasa khemah digoncang begitu kuat. Saya dapat rasakan angin tengah malam itu betul-betul kuat. Saya teringat baju di ampaian yang saya sidai. Saya keluar kelam-kabut hendak angkat pakaian saya. Saya buka zip khemah, terus pakai selipar dan berlari ke belakang khemah. Waktu saya berlari, saya sempat pandang ke atas langit sebab saya terdengar bunyi kain dilibas kuat.


Terkejut saya, apa yang saya nampak tidak pernah saya bayangkan dalam minda saya. Saya nampak kain petak sangat besar berwarna kelabu yang kusam sebesar padang sekolah ada di atas kepala saya. Ibarat macam kapal terbang, terbang rendah dan sayapnya dikibas macam burung. Tidak nampak kepala mahupun kaki. Terbang rendah di atas saya. Yang saya tahu, waktu itu saya terpaku sambil memerhati ke mana lembaga / kain itu hendak pergi. Mungkin perasaan pelik saya pada ketika itu membuatkan saya tidak berasa apa-apa. Tiba-tiba bahu saya disapa oleh kakak senior dan saya dengan pantas mengambil kain di ampaian tanpa berfikir apa yang telah saya ternampak tadi.

Sekarang saya dah pun berumur tiga puluh tahun. Kisah misteri itu masih lagi segar di dalam ingatan saya. Hingga kini saya teringin hendak tahu, apa yang saya dah nampak sebenarnya?


Akhir kata, terima kasih dan selamat malam!


Sekian,


Nur

316 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page