Assalamualaikum KC,
Saya Ahmad Samion dari Johor ingin berkongsi sedikit pengalaman sepanjang saya dan kawan saya melalui Jalan Jemaluang di Mersing, Johor.
Kisah kali ini saya hendak berkongsi satu lagi pengalaman di luar skop lingkungan tempat kerja saya. Cerita kali ini sebenarnya berlaku secara langsung kepada salah seorang rakan baik saya. Saya cuma memainkan watak sampingan sahaja dalam cerita ini.
Baiklah, latar belakang cerita. Al-kisahnya saya bersama dua rakan baik, Apis dan Wany, telah membuat satu perancangan untuk jalan-jalan ke Mersing. Sebelum diteruskan kisah, saya perkenalkan secara ringkas dua orang rakan baik saya ini. Apis dan Wany merupakan rakan sejak kami menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor. Apis dan Wany ini merupakan rakan satu kursus dengan saya. Masing-masing dah kenal lama dan dah masak dengan perangai gila-gila setiap orang. Kami juga selalu melakukan aktiviti bersama, lepak bersama-sama dan macam-macam lagilah.
Sebenarnya ada lagi rakan-rakan yang lain yang kami rapat cuma saya hanya fokus pada Apis dan Wany sahaja kerana mereka merupakan peranan utama dalam cerita ini. Wany berasal dari Kedah. Orangnya santai, sempoi dan lasak. Apis pula orang Perak, orangnya suka menyakat dan ada deria keenam sedikit. Hubungan kami agak rapat sehinggalah tamat pengajian. Sampailah ke alam pekerjaan pun kami masih rapat, dan untuk pengetahuan semua, kami semua sekarang bekerja di Johor. Kami selalu sangat lepak bersama, tengok wayang, berjalan sana-sini. Maklumlah semuanya bujang (waktu kejadian ini berlaku, Apis masih tunangan orang, sekarang dah kahwin dah). Namun masing-masing tahu jaga batasan masing-masing dalam pergaulan.
Berbalik kepada cerita asalnya tadi. Seperti biasa, jika ada waktu terluang kami suka sangat merancang untuk berjalan-jalan. Pergi KL lah, pergi Melaka lah, pergi Bukit Tinggi lah, buat majlis makan-makan lah. Cuma kali ini saya ingin kongsikan pengalaman kami bertiga yang buat perancangan berjalan-jalan ke Mersing. Kami bercadang untuk ke Mersing sambil buat acara barbeku di sana. Bawa ayam yang diperap siap-siap.
Jadi bila dah rancang hendak berjalan sambil bawa bekal, masing-masing sibuklah siapkan mana yang patut. Dari hal beli ayam dan bahan-bahannya, sehinggalah kepada proses memerap. Ketiga-tiga kami mempunyai satu sinergi dan kesefahaman yang baik dan tahu tugasan apa yang perlu dilakukan. Kami bercadang untuk bertolak lewat malam dan dijangka akan sampai ke Mersing pada awal pagi. Perjalanan ke Mersing ini kami perlu melalui kawasan Ulu Tiram, Kota Tinggi, Jemaluang dan terus ke Mersing. Kami pergi dengan sebuah kereta Proton Persona milik Apis.
Lokasi pertama sebelum kami bertolak adalah rumah makcik Apis di Skudai. Sebelum memulakan perjalanan, saya lepak di rumah makcik Apis dahulu menghabiskan waktu senggang. Kebetulan tiada sesiapa di rumah makciknya. Hanya Apis seorang sahaja. Jadi tidaklah segan sangat untuk lepak-lepak dulu. Setelah beberapa waktu berlalu, kami memulakan perjalanan selepas jam 12 malam. Apis memandu kereta Personanya dan kami terus meluru ke rumah sewa Wany yang terletaknya di Senai.
Untuk pengetahuan semua, saya orangnya bukanlah berani sangat. Agak penakut juga. Sewaktu perjalanan, Apis yang memandu kereta, Wany di sebelahnya, dan saya pula di tempat duduk belakang di belakang Wany. Sementara, periuk kecil yang berisi ayam ada di sebelah kanan saya, diletakkan di lantai kereta. Sementara radio dihidupkan, Apis berbual dengan Wany dan semakin lama saya terperasan topik yang mereka bincangkan. Jika tidak salah. mereka berbincang tentang Cik Lang atau pun dengan ertikata lain, Langsuir.
Dah gila malam-malam buta buka cerita tentang makhluk itu? Kami pula dalam perjalanan ke Mersing yang merentasi Jalan Jemaluang. Kepada mereka yang tidak tahu dan juga kepada mereka yang tahu, Jalan Jemaluang ini terkenal dengan bermacam penampakan. Di kawasan ini ada kubu-kubu British lama sewaktu Perang Dunia Kedua dahulu. Kubu-kubu ini digunakan untuk menangkas serangan dari pihak tentera Jepun di Malaya satu ketika dahulu.
Kubu-kubu ini terletaknya di tepi-tepi jalan. Jika tidak silap, ada orang pernah ternampak sesuatu di atas kubu tersebut. Alhamdulillah saya tidak pernah nampak lagilah. Jalan Jemaluang pada waktu malam gelap teramat sangat. Jalannya cuma dua lorong sahaja. Jalannya lurus memanjang dan sekali sekala ada bengkang-bengkoknya. Kiri kanan merupakan hutan dan semak. Lampu jalan pula tiada.
Hanya mengharapkan lampu kereta sendiri dan kenderaan lain sahaja yang memecahkan kegelapan di kawasan itu. Seperti yang diberitahu sebentar tadi, saya memang agak penakut. Jadi bila terdengar si Apis buka cerita tentang makhluk itu, saya pun tegurlah. Dengan selamba si Apis perlahankan suara radio sambil menyambung ceritanya dengan Wany. Dia memang sengaja hendak saya turut mendengar ceritanya sambil hendak menyakat saya. Saya menjadi runsing ketika itu sebab memikirkan jikalau perkara buruk terjadi. Dahlah kami lalu jalan yang gelap-gelita, kereta pun tidak banyak, waktu pula pada masa itu boleh tahanlah juga awal paginya, kami pula sambil memandu sambil bercerita perihal benda-benda seperti itu. Risau juga, takut jadi apa-apa.
Tidak lama selepas itu, kereta kami melalui satu kawasan kemalangan. Kawasan kemalangan tersebut seolah-olah baru berlaku. Melalui kawasan tersebut, kami tidak ambil pusing sangat. Sekadar lihat dan tegur sahaja. Apis meneruskan perjalanannya seperti biasa. Kemudian, tidak lama selepas itu, kami sedikit terganggu dengan kenderaan dan lori dari arah yang bertentangan dengan kami. Kebanyakan mereka memberikan isyarat lampu tinggi (klip-klip) pada kami. Pada mulanya firasat Apis ada penghadang di hadapan. Namun setelah diamati, Apis berasa sedikit pelik dan ada rasa tidak sedap hati. Maka si Apis mulalah menyiasat.
Mulanya sambil memandu, Apis melihat cermin pandang ke belakang, tiada apa-apa dan tiada apa yang meragukan. Semestinya ketika itu mestilah dia ternampak muka saya di belakang. Kemudian Apis melihat cermin pandang tepi sebelah kiri, pun tiada apa-apa juga. Seterusnya Apis melihat cermin pandang sisi sebelah kanan. Astaghfirullah! Apis terlihat sesuatu!
Kali ini pandangan Apis betul-betul tertumpu pada sudut tersebut. Terkedu barangkali, namun masih mampu mengawal kereta yang dipandu agar tidak terbabas. Apis terdiam tidak berkata apa-apa. Ketika itu saya dan Wany hanya penumpang boneka, langsung tidak mengetahui dan tidak sedar akan apa yang berlaku. Apis masih memandu kereta Persona itu dengan kawalan terbaiknya. Kemudian Wany perasan Apis secara tiba-tiba menggengam telefon bimbitnya. Firasat Wany sedikit bercelaru dan berbaur pelik. Hati Wany terdetik, tak akanlah tunangan si Apis tak tidur lagi waktu-waktu macam ni, boleh pula si Apis main-main mesej sambil-sambil pandu kereta.
Tiba-tiba Apis memberikan telfon bimbitnya kepada Wany. Wany tanpa menunggu lama terus meneliti apa yang ditaip oleh Apis ketika itu. Apis memberi pesan, jangan pandang belakang sebelah kanan. Sebab ada benda sedang ikut kita. Apis pesan lagi, jika tertoleh pun minta buat seolah-olah tidak tahu sahaja. Wany terkejut dan terus tidak tentu arah selepas membaca mesej tersebut. Hanya pandangan hadapan sahaja yang menjadi tumpuan Wany ketika itu. Ketika kejadian itu, saya langsung tidak tahu bahawa ada satu drama bisu yang sedang berlaku di antara Wany dan Apis. Saya dengan dunia saya sendiri di tempat duduk belakang bertemankan periuk kecil yang berisi ayam yang diperap. Tidak tahu bahawa ada sesuatu menumpang di sisi saya.
Apis meneruskan perjalanannya dan sewaktu perjalanan tersebut, tiba-tiba ada sesuatu yang bagi saya sedikit pelik berada di hadapan. Saya ternampak ada satu gugusan kabus tebal berada rapat dengan lantai jalan raya dan kedudukannya adalah di tengah-tengah jalan. Tidak pasti kalau kabus tersebut sedang bergerak dari satu sudut ke sudut yang lain. Tapi kedudukan kabus tebal itu pada waktu tersebut memang di tengah-tengah jalan. Saya yang perasan akan keadaan itu terus menegur akan sosok kabus tersebut. Si Apis dan Wany masih tidak berkata apa-apa tentang adanya penumpang lain di sisi luar kereta.
Selepas kami melalui kabus tersebut atau dengan ertikata lain melanggar gugusan kabus itu, Apis sekali lagi mencapai telefon bimbitnya dan menaip sesuatu. Lalu diberikan sekali lagi kepada Wany. Apis memeberitahu itu bukan kabus, benda itu hendak tunjukkan dirinya yang sebenar sebab saya ada menegur tadi. Saya yang sebenarnya tidak terlalu jelas dengan keadaan yang berlaku pada waktu itu sementelah tidak melihat mesej-mesej yang Apis taip di telefon bimbitnya. Hanya Wany seorang sahaja yang membaca mesej-mesej Apis ketika itu. Isi kandungan mesej-mesej tersebut diceritakan semula oleh Wany kepada saya.
Wany juga memberitahu bahawa benda itu memang ikut agak rapat ketika itu. Itu yang Wany bagitahu setelah sekian lama. Sejujurnya untuk mesej Apis yang kedua itu saya sebenarnya kurang faham. Apakah maksudnya? Apa kaitan kabus tadi dengan benda itu hendak menunjukkan dirinya yang sebenar? Sebab apa yang saya lihat cuma gugusan kabus.
Sejurus selepas itu, tiba-tiba si Apis berpesan kepada saya. Apis menyuruh saya alihkan periuk ayam tadi di sebelah kiri. Saya rasa pelik. Kenapa pula hendak dialihkan? Tiba-tiba Wany mencelah dan berkata, takut tumpah. Saya lagilah pelik dengan alasan tersebut. Dengan keyakinan yang mendalam dan tinggi, saya menjawab, jika risau tumpah baik saya saja yang beralih tempat. Dari duduk sebelah kiri berpindah duduk ke sebelah kanan. Saya pun beralih tempat duduk dan secara tidak langsung saya sendiri yang semakin rapat dengan benda tersebut. (Kalaulah tahu, jangan harap hendak tukar posisi kedudukan).
Apis bertegas meminta saua untuk beralih semula kedudukan ke sebelah kiri. Ketika itu barulah saya mula terperasan sesuatu yang tidak kena antara Apis dan Wany. Saya semacam mula tersedar akan drama mereka. Mendengar arahan Apis, saya dapat mengagak ada sesuatu yang tidak kena. Seolah-olah ada sesuatu berhampiran dengan saya. Dengan ayat yang lebih jelas di sebelah kanan sisi kereta. Saya bingkas beralih kedudukan sambil memberi respon sebagai tanda yang saya sudah faham. Saya bertanya pada Wany dan Apis, "Kenapa bau ayam ni kuat sangat ke?" Wany mengiyakan saja pertanyaan saya. Saya terus duduk di sebelah kiri kembali dan memang tiada harapan langsung untuk menoleh ke sebelah kanan bahagian belakang.
Tidak lama kemudian azan Subuh berkumandang di radio. Apis terusmenguatkan nada suara radio dan membuka tingkap belakang sebelah kanan kereta sambil memohon maaf kerana terpaksa membuka tingkap tersebut. Tujuan Apis membuka tingkap tersebut adalah supaya laungan azan dapat didengari sehingga ke luar. Apabila Apis membuka tingkap tersebut tentunya terasa sedikit sejuk dengan angin luar yang masuk. Namun saya faham akan keadaan itu dan cuba berlagak tenang. Risau juga kalau tingkap terbuka dan ada benda yang masuk. Mahu meraung saya seorang diri di belakang. Namun tidak lama selepas itu, benda itu berlalu pergi.
Selepas kejadian itu, difahamkan benda yang ikut kami pada malam tersebut adalah benda yang seakan-akan kain yang sedang terbang ditiup oleh angin. Si Apis memberitahu pada mulanya dia nampak macam kain. Kemudian nampak ada muka yang seolah-olah mengintai saya, namun mukanya tidak jelas. Cuma nampak mata kemerahan. Aduh meremang pula bila teringat semula. Saya tidak pasti benda apa yang ikut kami pada malam tersebut. Pada firasat saya mungkin langsuir.
Kenapa dia ikut kami, itu pun kami tidak tahu sebabnya. Ada juga berfikir mungkin kerana ayam yang kami bawa masih ada kesan darah, tapi rasanya ayam-ayam itu sudah dibersihkan sebaiknya. Atau mungkin kerana benda itu dapat tahu kami buka cerita tentangnya. Wallahu'alam. Apa yang pasti kepada mereka yang ingin berjalan jauh sentiasa perbanyakkan berdoa dan berzikir. Jaga percakapan terutama ketika memandu di tempat-tempat yang agak terasing dan gelap. Sentiasa fokus ketika memandu dan jangan cepat panik ketika diusik. Sehingga berjumpa lagi. Inshaa Allah.
Sekian,
Ahmad Samion Bin Ismail
Johor
BOLA PELANGI - BANDAR MIX PARLAY TERBESAR DI INDONESIA HANYA DENGAN 1 USER ID SUDAH BISA BERMAIN SEMUA GAME. Join US ! klik link di bawah ini ☟ ☛ <a href="http://bolapelangilounge.com/"> Prediksi Parlay Jitu </a> ☛ <a href="http://148.72.213.253/"> Mix Parlay </a> ☛ <a href="http://148.72.213.253/"> Bola Jalan </a> ☛ <a href="http://148.72.214.11/"> Bola Online </a> Untuk Info Dan Bonus Menariknya Bisa Hubungi Kami Di Bawah Ini : WHATSAPP 1 : +6282143134681 WHATSAPP 2 : +6281333472723 Ayo buruann , mana tau kamu menjadi jutawan setelah bergabung dengan kami .. ♛ Group FB Prediksi Parlay Dan Bola Jalan = https://www.facebook.com/groups/markasprediksiparlay/ ♛ Instagram = https://www.instagram.com/bolapelangi_01/ ♛ Pinterest = https://id.pinterest.com/Pelangiball/a