top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

HOTEL MISTERI DI IPOH


(UNTUK DENGAR MUZIK LATAR SAMBIL MEMBACA TAP "LISTEN IN BROWSER")


Salam brother KC!


Cerita ini dari guru saya.

Hotel Kejadian berlaku di sebuah hotel di Ipoh tahun lepas. Kami check-in awal sejam ketika itu. Masa standard check-in hotel dalam Malaysia ini jam 3 petang. Badan pula keletihan yang amat sangat kerana perjalanan yang jauh dan memandu hampir 8 jam. Mata aku dah terbayang tilam dan bantal empuk. Selepas selesai urusan di kaunter, kami menuju ke arah lif untuk naik ke tingkat 4. Selepas menekan butang lif untuk naik, aku terasa sesuatu sedang memandang dari tangga di sebelah kanan aku. Tangga tersebut agak lebar sebenarnya, tapi entah kenapa suasananya begitu suram dan kelihatan agak kotor dari pandangan mata aku. Menampakkan seolah-olah laluan tangga tersebut begitu sempit dan menyesakkan. Di hujung tangga, di tepi dindingnya aku terperasan ada satu tangan berwarna biru. Seolah-olah sengaja diletakkan begitu. Ketika inilah masa jadi perlahan. Lif masih tidak sampai. Entah dari tingkatan langit ke berapa pun aku tak tahu. Aku terus merenung tangan tersebut, menunggu pemiliknya menjengahkan kepala! Iya. Inilah perangai aku. Tak suka tertanya-tanya. Tangan itu milik "seorang" perempuan. Jarinya runcing. Kukunya sudah pecah-pecah. Seperti hampir kepada mereput. Akhirnya barulah dia keluar menjengahkan tubuhnya perlahan-lahan. Dia berambut lurus panjang separas pinggang dan kepalanya ditundukkan ke arah bumi. Tak dapat aku buat pengecaman wajah. Dari hujung kepala sehingga ke hujung kaki, semuanya berwarna biru nila. Di bahagian perutnya nampak seperti ada kesan darah yang kering. Setelah mengamati selama beberapa saat, tekak aku mula berasa loya. Suhu mendadak sejuk seperti keadaan apabila pintu peti sejuk dibuka tu, bauan busuk pekat melekat sehingga ke anak tekak. Kau pernah bau bangkai manusia? Paling busuk. Begitulah baunya. Walau macamanapun, aku buat-buat macam tiada apa yang berlaku. Apatah lagi memberitahu pada isteri yang sedang setia menunggu pintu lif terbuka. Karang jadi gangguan fikiran pula. Asyik terbayang-bayang tak sudah. Scene di depan lif berakhir begitu sahaja. Risau juga aku kalau masa pintu lif nak tertutup, dia julurkan tangan nak tumpang naik. Confirm aku carutkan macam machine gun! Badan dah penat, aku perlukan powerful sleep. 15 - 20 minit pun sudah memadai. Sampai dalam bilik, aku terus labuhkan badan ke atas katil dan hanyut dalam tidur yang sangat dalam. Baju pun aku tak sempat buka. Punyalah penat. Biasanya benda pertama yang aku buat bila masuk bilik hotel adalah memagar bilik dari anasir yang tidak sepatutnya bersama dengan kami. Kebiasaan yang wajib tanpa gagal. Tapi hari tersebut aku tak buat langsung. Tenaga aku seolah-olah terbakar dalam perjalanan. Banyak dugaannya. Kes yang kami attend hari tersebut pun bukan biasa-biasa. Kategori berat. Benda dah nak jadi asbab. Macam tulah dia. Rupanya semasa aku terlelap, macam-macam bentuk gangguan yang isteri aku alami. Kelibat berlari melintas dari dalam bilik air masuk ke dalam almari. Bunyi ketukan dan cakaran dari dalam almari dan paling best adalah bunyian suara perempuan menangis tak sudah-sudah. Maka, isteri akulah yang jadi guard semasa aku tidur nyenyak. Mujurlah beliau tahu apa yang mahu dibuat. Mengakibatkan dia yang juga keletihan tak dapat melelapkan mata walau sesaat pun. Pada sebelah malamnya pula, macam-macam bunyi di luar bilik, tingkat atas bilik kami dan juga bilik sebelah. Senang cerita, kami tak dialu-alukan untuk bermalam di situ. Oleh kerana bilik telah pun dipagar, dan keletihan lebih kuat berbanding gangguan di luar bilik. Malam tersebut kami tidur mati! Keesokan harinya semasa nak check-out, lif yang kami naiki terhenti di tingkat 1. Apabila pintunya terbuka, tiada sesiapa di situ. Pelik! Suasana sunyi sepi dan pencahayaan amat suram. Aku dan isteri terus keluar dari lif sebelum kemudiannya menyedari kami sepatutnya terus ke Ground Floor untuk ke front desk. Kami seolah-olah dijemput ke tingkat 1 ini. Siapa yang tekan lif untuk hentikannya di tingkat 1? Ah, sudah! Aku cuba buka pintu di hadapan lif untuk masuk ke tingkat tersebut, tetapi gagal. Manalah tahu ada jalan lain ke kan? Pintunya berkunci dan bukan setakat itu sahaja, rupanya siap berantai. Masa ini, bulu roma aku dah tegak tak mahu turun. Tak tahulah isteri aku macamana. Biasanya sensor dia lagi aktif dari aku. "Dah la ayang, kita turun ikut lif je. Malas nak turun ikut tangga. Penat!", ujarku kepada isteri. Sebenarnya, tangga itulah yang aku tengok ada perempuan biru tu semalam. Tak larat nak melayan karenah apa-apa pun masa ni. Tenaga banyak nak guna pada pemanduan balik ke Kulai, Johor ni nanti. "Okay yayang", jawab isteriku dengan muka comel dan ceria. Telinga aku mula menangkap bunyi mantera siam sahut menyahut. Di antara selang bunyi yang berdengung itu, terdengarlah suara perempuan menangis mendayu-dayu seolah meminta tolong. Masa ni kami dah pun membelakangkan pintu tersebut, menunggu pintu lif terbuka. Saspen sungguh rasanya. "Gedegang!" Jantung aku berdegup macam nak pecah. Terkejut bukan main-main. Aku tengok muka isteri, sah dia tak dengar bunyi tadi. Walau macamana pun aku tetap maintain cool. Semasa kami melangkah masuk ke dalam lif, pintu di belakang kami itu semakin kuat dirempuh sesuatu yang pada perkiraan aku amat besar dan berat. Banyak kali pula tu rempuhannya. Mujurlah pintu tu tak pecah. Lidah aku dah standby tongkat ke lelangit. Menunggu aku lancarkan hembusan tindakan sahaja sekiranya keadaan menjadi luar kawalan. Mujurlah tak jadi apa-apa. Masa di front desk, sempat aku bertanya pada staf hotel berkenaan, "Tingkat 1 tu kenapa siap berantai dik?" "Oh, memang dah lama seal bang. Kita tak gunakan pun whole floor. Ada kes", pendek jawapannya. Namun meninggalkan aku dengan seribu tanda tanya. Aku macam biasalah, buka gerak terus untuk tahu apa sebenarnya yang terjadi dekat hotel tu. Ada kejadian bunuh dan melibatkan kematian. Selepas itu, owner hotel panggil sami siam untuk pagarkan hotel berkenaan. Jadi, perempuan yang aku nampak sebelumnya semalam tu adalah qarinnya. Manakala selebihnya adalah jin penjaga dari siam. Nasihat aku kalau korang ke mana-mana hotel sekalipun, janganlah lupa bacalah 3 Qul dan Ayatul Kursi setidak-tidaknya. Kalau rajin lebih sedikit, hadiahkanlah bacaan Al-Fatehah. Manalah tahu, ada yang memerlukan doa kita.

521 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page