Assalamualaikum dan selamat malam KC,
Saya Wan Shahmi Faiz (Wan), penonton rancangan Malam Seram dari Bukit Tinggi, Klang. Cerita yang ingin saya kongsikan ini berkisahkan pengalaman yang saya lalui bersama rakan-rakan saya di sebuah kolej terbiar di Shah Alam.
Kisah ini berlaku pada tahun 2016, kami sedang lepak di kedai mamak sambil bersembang-sembang. Tiba-tiba seorang rakan saya, Anip berkata, "Weh korang, cari hantu jom malam ni? Bosanlah lepak kat kedai mamak aje..." Saya pun menyahut, "Jomlahh aku pun tengah bosan ni, macamana geng? Nak gerak tak?" Selepas lama berbincang, semua rakan saya turut menyahut.
Tujuan kami pada malam itu adalah sebuah kolej lama yang terbiar dan ditinggalkan. Nama kolej ini adalah Kolej Jati dan kalau tidak silap saya, di Seksyen 2 Shah Alam. Pada mulanya, saya pun tidak perasan kolej ini wujud kerana pada waktu malam tempat ini gelap, cuma ada lampu jalan yang menerangi jalan di tepi kawasan kolej ini. Sekarang ini kolej ini telah dirobohkan.
Untuk pengetahuan semua, kolej ini mempunyai lima atau enam blok bangunan dan bangunan yang pertama mempunyai sebuah kantin atau medan makan kolej yang agak besar. Kami pernah mendengar cerita, yang tempat paling seram adalah di tingkat dua bangunan kantin. Dipendekkan cerita, kami semua menaiki motorsikal dan sampai di kolej ini pada pukul 12 lebih malam.
Pada malam itu suasana seperti biasa, cuma terasa sedikit sejuk tetapi saya tidak rasa begitu seram sebab sudah tiga atau empat kali pergi ke tempat seperti ini, tambahan pula bilangan kami ramai dalam sepuluh orang rakan saya yang ikut serta. Sejurus kami sampai di depan Kolej Jati, kami pun masuk mengikut pintu besi utama yang tidak terkunci. Kami pun berjalan masuk ke dalam. Sejurus di dalam, kami mengeluarkan telefon bimbit masing-masing untuk menggunakan fungsi cahaya lampu suluh kerana keadaan sekeliling yang gelap dan ada juga rakan saya yang merakam video suasana pada malam itu untuk dijadikan kenangan.
Kami jalan beramai-ramai masuk dari satu blok ke satu blok tapi kami tidak naik ke tingkat atas sebabnya lantai di setiap blok dipenuhi dengan kaca-kaca, besi, paku dan kayu-kayu patah. Sedang kami berjalan, kami ternampak sekumpulan pasukan paranormal yang juga membuat penerokaan di tempat yang sama. Mereka seramai enam atau tujuh orang ahli. Kami pun mendekati mereka dan bersalam-salaman lalu berborak sebentar.
Sedang berborak, ketua kumpulan itu yang bernama Abang Zul, bertanya kepada kami, "Korang ni nak cari hantu tapi jalan beramai-ramai, kalau macam ni hantu pun lari dik! Takpelah kalau korang betul nak jumpa hantu, aku boleh tolong. Aku boleh tolong bukakan hijab mata korang..." Kami memandang sesama sendiri, terkejut dan tergamam sebab kami semua datang ke sana hanya untuk suka-suka, bukan untuk mencari benda halus ini.
Namun selepas berbincang sesama kita, ada empat orang rakan saya yang berani untuk membuka hijab mata mereka. Selepas rakan-rakan saya bersetuju untuk membuka hijab, Abang Zul pun mengeluarkan sebotol minyak, macam botol minyak wangi yang kecil untuk dicalitkan di kelopak mata kiri dan kanan sambil dibacakan ayat-ayat yang tidak saya ketahui. Selepas melakukan perkara itu, kami diarahkan untuk berpeacah kepada dua kumpulan, yang hijabnya dibuka tadi dibahagikan dua orang dengan saya, dua orang lagi di kumpulan lagi satu. Kami ditempatkan di tempat yang berasingan, diiringi ahli kumpulan paranormal.
Kumpulan saya ditempatkan di tingkat dua bangunan kantin, manakala yang satu lagi duduk di blok yang kedua. Dah sampai di kantin tersebut, kami disuruh duduk berjarak-jarak. Lalu Abang Zul membaca ayat-ayat lalu berkata, "Haaa ni ada lima orang budak aku tinggalkan, kalau kau berani, kau kacau mereka!" Pada pukul 3 pagi, mata kami memerhati dan memandang ke kiri dan kanan, atas dan bawah untuk melihat kalau-kalau makhluk halus ini muncul.
Tiba-tiba salah seorang rakan saya yang membuka hijabnya memandang ke arah bumbung blok sebelah lalu dia menyuruh kami memandang ke arah sana dan di atas bumbung lalu kami pun melihat. Ya Allah terkejut kami! Kami terlihat sosok tubuh yang berbungkus dengan badannya sedikit membongkok memandang ke arah kami dan itu adalah makhluk Pocong!
Tiba-tiba saja angin menjadi sedikit kencang dan suasana menjadi sejuk, habis meremang bulu roma saya dan secara tiba-tiba rakan saya di sebelah (Razak) menjerit mengerang kesakitan, dengan nada yang tersangkut-sangkut mengerang kesakitan dia berkata, "Wehh tolong wehh, ada pakcik tua duduk atas aku, aku tak larat wehh... Tolong aku wehhh..." Saya ingatkan seorang saja yang terkena gangguan, tiba-tiba rakan saya yang kedua (Nizam) menjerit terkejut lalu dia berkata, "Wehh kenapa muka korang jadi buruk berulat weh?!"
Kami terkejut apabila Nizam berkata sebegitu, lantas dia menjadi terdiam dan kaku. Dia terbaring di lantai dengan badannya keras. Saya menjadi panik sebab kami tak tidak tahu hendak membuat apa. Selepas terdengar jeritan, kumpulan paranormal itu datang untuk membawa rakan saya turun ke bawah. Kami berjalan keluar sambil mengangkat keluar dua rakan saya yang diganggu di bangunan kantin.
Semasa kami mengangkat Nizam, terasa berat sangat sampaikan enam orang angkat tapi masih lagi berat. Sampai di luar bangunan, Abang Zul dan pasukannya cuba mengubati mereka. Ketika sedang berubat, rakan saya yang ketiga (Hisham) yang membuka hijabnya, ternampak makhluk yang kecil berwarna hijau. Seraya ternampak dia menegur, "Korang nampak tak apa aku nampak?" Saya bertanya, "Nampak apa?"
Hisham berkata, "Tu ada toyol kat depan kita..." Hisham tambah lagi, "Wehh diaa panggil akulah..." Selepas itu salah seorang anggota pasukan paranormal itu menegurnya, "Jangan pergi Dik... Merbahaya..." Beberapa kali toyol itu mengajak rakan saya untuk dekat dengannya dengan mengumpan duit yang dicurinya, beberapa helai duit 50 ringgit yang berada dalam genggaman tangannya.
Selepas berapa jam berubat, Razak sedar selepas dirasuk. Kami semua ingatkan sudah berakhir. Tiba-tiba Razak berlari masuk semula ke dalam bangunan kantin di tingkat dua. Kami semua mengejarnya dan dapat menangkapnya sebelum dia sampai ke tingkat dua, lalu dia berkata kepada kami, "Aku nak jumpa bini aku aje, tolonglah jangan kacau aku..." Kemudian, kami disuruh turun dan tinggalkan Razak dengan Abang Zul di atas.
Setelah mereka turun beberapa ketika kemudian, Abang Zul memberitahu ada tiga jenis makhluk yang mendampingi kami, iaitu yang pertama, seorang lelaki tua yang hodoh (Razak), kedua, Pocong (merasuk Nizam ) dan ketiga, Toyol (mengganggu Hisham). Apabila keadaan telah mula reda, hijab mereka pun ditutup melalui bacaan yang dibaca oleh Abang Zul. Selepas rakan saya Razak sedar, dia ceritakan semasa dia dirasuk, dia seperti pergi ke alam lain. Sewaktu di kantin, dia ternampak macam suasana pagi, ramai budak-budak kolej sedang makan dan belajar di dewan makan itu, seolah oleh tempat itu masih berpenghuni oleh makhluk ghaib.
Sekian terima kasih...
Comments