top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Hantu Ngesot

Selamat tengah malam KC dan para pembaca blog Malam Seram,


Nama kakak, Saadiah, tapi bolehlah panggil kakak dengan panggilan Kak Diah. Kakak berasal dari daerah West Coast, Singapura. Kisah kakak ini agak ringkas dan ianya berlaku agak lama dahulu, pada tahun 1999, sewaktu kakak menetap di Johor Bahru bersama bekas suami kakak, seorang warga Malaysia dan dua orang anak kakak yang ketika itu masih kecil.


Kami sekeluarga menetap di salah sebuah rumah teres murah yang disediakan oleh syarikat di mana suami bekerja. Rumah itu terletak di daerah Taman Dahlia. Kakak akan cuba gambarkan kawasan rumah kakak pada waktu itu dengan mudah. Di hadapan rumah ada halaman di mana anak-anak kakak suka bermain dan terlebih depan lagi adalah jalan tar di mana kenderaan akan lalu-lalang. Rumah kakak tak ada pintu gerbang besi dan ianya agak luas dan tidak tertutup, tiada sebarang pemisahan dinding antara jiran. Terdapat hanya satu pintu gerbang di hujung jalan kerana kawasan ini merupakan milik syarikat.


Bekas suami kakak bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pada malam kejadian itu, dia bertugas syif malam. Seperti biasa kakak akan mengucapkan selamat tinggal kepada suami sebelum van syarikat datang menjemput dan menghantarnya ke tempat kerja. Kakak ditemani dua orang anak perempuan kakak yang masih kecil dan pada waktu itu, kakak sedang berbadan dua dengan anak ketiga kakak.


Oleh kerana kakak sedang hamil, mudah bagi kakak berasa tidak selesa dan kakak memutuskan untuk membawa anak-anak tidur di ruang tamu kerana tiba-tiba pula terasa tidak begitu selesa di dalam bilik tidur. Setelah memasang tilam dan bantal-bantal untuk tidur, kakak pun tepuk-tepuk anak-anak untuk menidurkan mereka. Taklah susah kerana mereka pun sudah letih. Hanya dalam beberapa minit, mereka telah pun memasuki alam tidur.


Kakak seorang yang mudah terbangun dan lazimnya akan selalu terbangun dari tidur apabila terdengar sesuatu, tidak kira berapa kecil suara atau bunyi itu. Kakak tidak perasan bila kakak tertidur, tahu-tahu kakak dikejutkan oleh sesuatu bunyi kuat yang agak pelik kedengaran. Ia seperti sesuatu yang diseret, berbunyi “Shreeet, shreeet, shreeet...” Kakak pun bangun dari tempat tidur dan berdiri di hadapan tingkap, curiga dan ingin tahu bunyi apakah yang kakak dengar.


Dengan tidak memikirkan apa-apa, kakak pun buka tingkap sepenuhnya. Tingkap rumah lama kakak itu merupakan tingkap jenis lama yang diperbuat dari zink dan kakak tengok ke luar menerusi celah tingkap yang kakak dah buka sepenuhnya. Pada mulanya agak susah untuk kakak tempatkan apa sebenarnya yang kakak nampak kerana mata kabur sebab baru sahaja bangun tidur. Alangkah terperanjatnya apabila kakak ternampak seorang wanita di jalan tar di hadapan rumah kakak di mana kenderaan lalu-lalang.


Yang memeranjatkan adalah, wanita itu sedang terduduk di lantai kasar itu dan dia sedang menyeret kedua-dua kakinya, menghasilkan bunyi seretan yang telah mengejutkan kakak dari tidur tadi. Penampakan itu serupa seperti hantu “Suster Ngesot” yang dipaparkan dalam filem seram Indonesia. Itulah yang kakak boleh samakan supaya anda dapat menggambarkannya. Kakak hanya perasan kakinya yang tidak ditutup. Yang membuat tanda tanya adalah, siapakah perempuan itu dan bagaimana dia boleh menyeret kakinya di atas lantai yang amat kasar itu?


Kakak menjadi keliru dan tertanya-tanya. Sedang kakak tenung dan renung, cuba untuk memastikan adakah benar itu yang kakak nampak, perempuan itu mula menolehkan kepalanya ke arah tingkap rumah kakak seperti dia tahu yang kakak telah pun memperhatikannya. Tak sempat pun terlihat wajahnya kerana kakak tersentak dan dengan segera menutup tingkap sambil kakak mengucap dan mula membaca Ayatul Kursi.


Kakak tunggu untuk beberapa minit, takut teramat sangat. Dalam hati kakak, kakak berniat untuk tinggalkan saja dah sambung tidur tetapi ada juga niat untuk melihat sekali lagi, dengan harapan benda itu tidak akan tiba-tiba muncul di hadapan kakak. Dengan perlahan, kakak pun buka tingkap sekali lagi dan seperti yang dijangkakan, wanita itu hilang dari pandangan. Kakak pun tidak tunggu ia muncul kembali, tutup tingkap dan kunci sebelum kembali ke tilam dan tidur bersama anak-anak.


Itu sahaja kisah kakak. Terima kasih kerana sudi ketengahkan kiriman kakak yang agak ringkas ini. Selamat tengah malam!

448 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page