top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Genderuwo Penunggu Durian

Assalamualaikum KC,

Nama saya Imam Mursid dari Tanjung Balai Karimun. Pengalaman yang akan saya kongsikan ini diharapkan agar kita ambil pelajaran dari kesilapan saya. Nasihat yang ingin saya sampaikan agar jangan sembarangan membakar lidi yang digunakan oleh orang Cina kerana kemungkinan mengundang makhluk halus untuk datang. Kisah ini terjadi sekitar musim Idulfitri beberapa tahun yang lalu ketika saya bekerja dengan seorang tauke Cina, berjaga malam di pondok kebun duriannya yang cukup luas, jauh dari keramaian.

Setiap malam selepas melaksanakan solat Tarawih, saya dan anak berdua berjaga dan memungut durian. Memang kami belum pernah mengalami kisah seram dan menakutkan sepanjang bulan Ramadhan tersebut. Kejadian pada malam itu merupakan malam Idulfitri dan takbir serta tahmid telah berkumandang semenjak waktu Maghrib lagi. Selepas pulang dari surau, saya langsung pergi ke pondok seorang diri berjaga. Anak saya tidak ikut kerana sibuk kemas rumah.


Sampainya saya di kebun, suasana sunyi yang biasa kedengaran dihidupkan dengan suara tadarus bersahutan dari jauh. Saya langsung memantau setiap pokok untuk pungut durian untuk angkut ke pondok. Setelah beberapa ketika, alat pembakar kalis nyamuk pula kehabisan. Saya dah mula tidak tahan dengan banyaknya nyamuk. Saya hubungi tauke untuk hantarkan pembakar kalis nyamuk ke pondok.


Apabila sampai di pondok, ternyata lidi sembayang orang Cina yang dibawanya. "Tak ada rotan, akar pun jadi" kata tauke sambil berseloroh. Selepas mebakar lidi itu, si tauke pun pulang ke rumah dan meninggalkan saya seorang diri di situ untuk teruskan tugas. Asap wangi dari lidi mula merebak. Dalam beberapa jam saya terdengar durian gugur. Saya menyuluh pokok di sekeliling dan cuba mencari dari arah mana bunyi durian itu jatuh tetapi tidak terlihat.


Bunyi durian gugur kedengaran lagi di pokok sebelah namun apabila disuluh masih tidak ada lagi. Sejenak saya mula rasa hairan. Saya lihat ke atas dan menyuluh durian yang tergantung di atas pokok. Tiba-tiba saya ternampak salah satu dahan pokok durian bergerak kuat seperti angin ribut meniup tetapi anehnya, sedikitpun saya tidak rasakan angin yang berhembus. Merinding bulu tengkuk saya!


Seraya itu saya terdengar bunyi suara sesuatu. Saya cuba mencari dari arah mana suara itu. Saya kembali dan masuk ke dalam pondok dan tutup pintu. Dari dalam pondok itu, saya terdengar seperti ada orang melangkah berjalan dan terdengar seperti orang itu menginjak ranting kering. Saya cuba beranikan diri keluar untuk pastikan siapa, kemungkinan ada pencuri durian. Tiba-tiba suara melangkah itu terhenti. Saya suluh ke luar sambil mata saya terpandang percikan seperti bunga api warna merah di atas pokok durian itu menghilang dalam sekelip mata.


Entah macamana saya rasakan seperti disiram air hujan dari atas pokok durian. Saya mendongak ke atas melihat penampakan makhluk tinggi besar, berbulu hitam, bertaring serta punya kuku yang panjang dan mata yang merah menyala. Sungguh seram! Saya langsung lari lintang-pukang sambil terjatuh dan tersandung. Sampai ke motosikal saya, saya terus hidupkan dan tinggalkan kawasan pondok itu.


Ketika menaiki motosikal terasa berat tarikannya, seperti ada yang menarik saya dari belakang. Saya cuba laungkan azan dan membaca Ayat Kursi dengan kuat. Sampai di rumah, saya menggigil ketakutan sehingga saya jatuh demam. Saya ceritakan pengalaman saya kepada isteri tentang kejadian itu. Rupanya saya telah diganggu oleh makhluk jin Genderuwo. Saya juga baru sedar saya telah dikencing olehnya dari atas.


Itulah kisah seram saya di Malam Idulfitri. Terima kasih.

233 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page