top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Gangguan Di Makmal Sekolah

Hai KC,


Saya Teamah dari Malaysia. Kisah seram ini terjadi semasa saya berada di zaman persekolahan. Saya bersekolah asrama dan merupakan seorang pengawas. Biasanya kalau ada apa-apa acara sekolah, kebanyakannya kami yang akan bertanggungjawab untuk menjayakannya. Cerita yang ingin saya sampaikan ini terjadi sewaktu saya berada di Form 5. Kami ditugaskan untuk mengacarakan majlis Hari Guru dan persiapan kami memakan masa selama seminggu. Seminggu pengawas-pengawas dari Form 5 berkampung di dewan sekolah untuk membuat persiapan.


Sehari sebelum Hari Guru, saya bersama tiga orang kawan ada kerja sedikit dan perlu menggunakan komputer. Disebabkan kami tidak dibenarkan membawa peralatan elektronik ke sekolah termasuk komputer riba dan pencetak, kami dibenarkan untuk menggunakan makmal komputer sekolah. Seperti biasa di mana-mana makmal komputer di sekolah akan ada satu bilik khas buat cikgu yang mengajar mata pelajaran ICT. Kami berempat menggunakan bilik tersebut untuk menyiapkan kerja-kerja untuk hari esok.


Sedar tidak sedar, jam menunjukkan hampir pukul 2 pagi. Kami masih berada di makmal tersebut, masih lagi membuat kerja yang tertunggak. Tiba-tiba kami terdengar bunyi orang sedang menggunakan komputer sebab bunyi papan kekunci seperti ada yang menekannya. Saya sangkakan hanya saya saja yang mendengar. Disebabkan tidak mahu takutkan kawan-kawan, saya hanya mendiamkan diri sahaja.


Rupa-rupanya kesemuanya terdengar! Semakin lama semakin laju bunyi papan kekunci itu. Kami pun saling berpandangan dan ada seorang teman saya dah mula terkumat-kamit mulutnya sambil beristighfar. Saya cuba beranikan diri melihat di bahagian komputer di luar bilik itu. Bunyi menaip masih lagi ada tetapi tidak ada seorang pun yang kelihatan. Saya berpesan kepada kawan-kawana untuk terus balik ke asrama sebab sudah lewat malam. Kami berkemas untuk pulang ke asrama. Saya adalah orang yg paling terakhir keluar sebab saya yang pegang kunci makmal komputer. Sedang kemas-kemas, saya memberitahu kawan-kawan agar beredar dahulu dan saya akan menyusul kemudian.


Semasa hendak keluar, saya ternampak seorang kawan yang lain (bukan yang tiga orang tadi), yang merupakan ketua pengawas sedang berjalan bersama kawan-kawan saya menuju ke asrama. Saya yang berjalan di belakang mengenali sosok tubuhnya. Kemungkinan dia daripada dewan sekolah dan hendak balik ke asrama bersama-sama. Sampai di asrama, kami berpecah, ada yang pergi ke tandas, ada yang terus masuk bilik ulangkaji pelajaran. Saya pula terus masuk ke dalam bilik dorm. Untuk pengetahuan semua, kami pengawas menetap di dalam dorm yang sama. Sampai di bilik, saya nampak kawan saya (ketua pengawas) yang saya ceritakan awal tadi sedang tidur lena di katilnya. Dalam hati saya berkata mungkin sebab kepenatan sangat.


Keesokan harinya setelah selesai solat Subuh di masjid sekolah, saya bertanya sambil tertawa kecil padanya, "Cepat kau terlena semalam? Balik dari bilik ICT terus tidur eh? Penat sangatlah tu..." Muka kawan saya terpinga-pinga. Dia membalas, "Sejak bila aku pergi makmal? Aku semalam kat dorm dari pukul 12 lagi, sebab kami yang buat persiapan di dewan, diarah pulang oleh pengawal sekolah... Bila pulak aku ke makmal? Memang tak akan lah aku nak jalan seorang diri di sana..."


Saya terkedu. Saya pasti yang semalam saya nampak adalah dirinya dari belakang. Baju yang dia pakai semasa tidur sama dengan baju yang saya nampak ketika di luar makmal. Saya pun terdiam dan dia bertanya kenapa. Saya hanya tersenyum saja. Hanya selepas habis majlis sambutan Hari Guru baru saya ceritakan pengalaman saya dengan kawan-kawan pengawas yang lain...


Sekian terima kasih...

269 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page