Assalamualaikum KC,
Saya Tana, berasal dari Brunei. Cerita yang saya hendak kongsikan dialami oleh kawan baik saya bernama Fadillah. Kisahnya agak ringkas. Begini ceritanya. Fadillah mempunyai seorang kakak yang begitu rapat dengannya. Mereka mempunyai bilik tidur yang berasingan tetapi ada pintu yang menghubungkan bilik mereka berdua.
Pada malam itu, kakak Fadillah lepak dalam bilik Fadillah dan mereka bergurau-senda antara satu dengan lain. Kakak Fadillah bergurau dengan mengejek cara Fadillah yang sedang cuba bercerita, sambil membuat suara merungut dan tidak jelas. Setelah bercerita dan bergurau senda, kakaknya pun masuk ke biliknya untuk tidur, kerana waktu telah terlalu lewat dan esoknya kakaknya harus keluar bertugas. Tinggallah Fadillah bersendirian di dalam biliknya.
Untuk pengetahuan semua, bilik Fadillah berada di tingkat atas. Di luar tingkap hanya mempunyai ambang tingkap atau parapet kecil. Selepas kakaknya masuk ke dalam biliknya, Fadillah pun mematikan lampu untuk tidur. Tingkap Fadillah ada langsir tetapi lampu dari rumah sebelah menerangi dan boleh melihat bayang jika ada sesuatu di luar tingkap. Misal kata, kalau ada burung yang hinggap, dapatlah kita lihat bentuk burung itu di luar.
Setelah mematikan lampu, Fadillah mula naik ke katil dan bersedia untuk tidur, apabila dia terdengar suara dari luar tingkapnya. Suara seperti perbualan antara dua orang tetapi kurang jelas, seperti bunyi yang tidak jelas seperti apa yang kakaknya lakukan pada awalnya. Fadillah terasa curiga dan membuka matanya. Ya Allah! Jantungnya seperti hendak tercabut apabila ternampak dua sosok tubuh seperti hantu pocong di luar tingkapnya dalam posisi duduk di atas ambang tingkapnya!
Dia rasa seram sejuk dan berderau darahnya. Seperti ketahuan yang dia sedang melihat "mereka", tiba-tiba kedua-dua sosok tubuh itu berhenti “bercakap” dan perlahan-lahan memusingkan badan "mereka". Belum sempat untuk lihat muka makhluk-makhluk itu, Fadillah terus menutup muka menggunakan selimut dan baca segala surah-surah suci yang dia tahu, sampailah dia tertidur hingga ke waktu pagi.
Terima kasih kerana ketengahkan kisah saya di blog Malam Seram!
Comments