Assalamualaikum KC,
Harap sihat sentiasa. Dah lama saya nak kongsi cerita cuma tidak sempat. Saya Anna, berasal dari Johor Bahru. Pengalaman saya memang terlalu banyak, dari kecil lagi dah selalu nampak makhluk-makhluk halus ibarat sudah terbiasa dan rasa lali. Saya ada dua cerita yang paling seram yang pernah terjadi dan masih menghantui saya hingga ke sekarang. Pertama kisah mengenai arwah pakcik saya, abang kepada arwah ayah saya. Dia seorang yang mengamalkan ilmu hitam. Tak perlu saya jelaskan ilmu apa yang dia pelajari dengan lebih lanjut. Ceritanya begini.
Setelah jenazahnya dikebumikan, bermacam-macam perkara aneh terjadi. Lebih-lebih lagi bila tiba hari Khamis, malam Jumaat. Pernah waktu malam sedang semua tidur nyenyak, terdengar ketukan kuat di pintu, disusuli dengan ketukan itu mengelilingi rumah saya. Ia ketuk setiap tingkap dan pintu dengan suara garau sambil memanggil nama ayah saya, "Ali... Tolong aku Ali..." Bila diselak langsir, kelihatan jelas arwah pakcik saya berkafan berdiri tegak meminta tolong seperti jasad tidak diterima bumi dan setelah arwah ayah membacakan sesuatu, hilang terus penampakan itu. Ia datang setiap malam sehingga ke hari empat puluh setelah pemergiannya.
Pernah sekali waktu itu hanya saya dan ibu di rumah. Sedang kami bersiap dan ingin keluar ikut pintu dapur, saya perasan seperti ada yang memandang. Bila saya toleh ke kanan, ada sebuah bilik dan di hujung sudut bilik itu terlihat makhluk pocong jelas sangat-sangat! Hanya saya yang nampak, arwah pakcik saya berkafan wajah seperti manusia biasa, tiada cacat cela tetapi mukanya senyum sinis dan matanya terbeliak besar memandang tajam ke arah saya dan kaki tidak jejak lantai! Saya pun lantas memberitahu ibu. Ibu yang tidak dapat melihat hanya mampu berkumat-kamit membaca ayat-ayat suci lalu kami segera keluar dari rumah. Hingga kini saya berusia tiga puluh tiga tahun masih lagi terbayangkan mukanya, dan senyumannya. Tak dapat saya hilangkan dari memori kerana waktu itu, kali pertama saya melihat makhluk pocong pada umur saya masih empat tahun.
********************************************************************************************
Cerita kedua, semasa rumah saya menjalani penaikan taraf, dari papan ke batu. Kami sekeluarga sewa sebuah rumah untuk sebulan dua, tidak jauh dari rumah saya. Rumah saya terletak di Kampung Melayu dan rumah sewa di Majidee. Waktu menyewa rumah itu, kelihatan seperti biasa, cuma rumah agak usang. Tiga hari setelah tinggal di situ mulalah kejadian aneh yang berlaku.
Anak saya berusia tiga tahun lebih dan boleh bercakap walaupun pelat. Waktu itu dah nak masuk waktu Maghrib. Pintu rumah belum ditutup, tiba-tiba anak perempuan saya berkata, "Mummy, kakak panggil, nak main-main..." Bila saya lihat ke luar, tiada kelibat sesiapa pun. Dengan segera saya menutup pintu dan bulu roma mula terasa meremang. Namun saya tidak merasakan atau terlihat apa-apa yang aneh dari waktu itu hingga ke waktu tidur. Anak saya pun tak berkata apa-apa tentang "kakak" yang dia maksudkan pada awalnya.
Malam itu pula dalam sekitar dua atau tiga pagi, saya pergi ke tandas sambil menghisap rokok dan kononnya ingin melepaskan hajat. Sewaktu sedang menghembus rokok, terasa macam ada yang mengintip di atas kepala dari atas bumbung besi. Tandasnya tiada siling batu, hanya menggunakan zink besi sebagai bumbung dan ada satu bahagian agak luas dalam 20 sentimeter yang boleh melihat ke luar. Setahu saya belakang tandas ada pokok bunga kemboka yang tidak begitu tinggi, sekitar 1.8m.
Saya dongak ke atas dan terlihat kain putih berkibaran. Lalu saya pun bercakap dalam hati, "Isyh... Jiran sebelah ni biar betul jemur baju atas pokok, kan kotor balik?" Tiba-tiba saya terdengar ketawa sayu dan bau bunga menusuk ke hidung. Baru saya tersentak dan tersedar, itu bukan jemur baju! Itu kain Pontianak! Dengan segera saya bersihkan diri, jalan sepantas kilat terus masuk ke dalam bilik.
Nak melangkah keluar dari tandas, terasa berat kaki saya. Macam kaki disimen tapi sampai juga ke bilik. Ingatkan pontianak itu dah beredar, saya silap! Waktu itu bilik saya gelap, tetapi ruang luar terang. Badan saya membelakangkan pintu dan waktu saya mengangkat telefon bimbit hendak tekan butang "Home" bagi menghidupkan skrin, alangkah terkejutnya saya melihat pontianak itu menerusi cermin skrin telefon bimbit, terapung di pintu bilik saya, berambut panjang, baju kotor dengan tanah, tapi nasib tak nampak mukanya!
Saya tutup mata dan baca apa yang saya tahu. Sejak hari itu, pada setiap waktu Maghrib, satu rumah akan bau bunga yang amat wangi. Kerana rumah sedang dinaiktaraf, terpaksalah tahan duduk di situ. Pada waktu yang sama, saya mencari pakar agar dia dapat membantu kerana saya ada anak kecil, takut apa-apa terjadi. Kata pakar itu, pontianak itu ingin berdamping dan rumah itu pula bekas milik seorang bomoh!
Rumah pontianak itu di pokok belakang tandas kerana ia ditanam di situ. Dulu saya pernah didampingi dengan pontianak dan telah dipulihkan. Walaupun sudah pulih, benda-benda ghaib senang masuk dan berdamping dengan saya kerana ada laluan yang sudah terbuka. Alhamdulillah setelah lebih mendekatkan diri dengan Allah, mata batin saya sudah tertutup walaupun kadang-kadang ternampak juga, namun tidaklah seteruk dulu. Ini semua terjadi kerana keturunan.
Kembali kepada cerita kedua saya, tidak lama kemudian rumah saya pun siap dan kami terus berpindah ke rumah saya yang kini. Alhamdulillah nasib baik Cik Kak tu tak ikut saya berpindah sekali. Hehehehe...
Sekian terima kasih KC!
Anna JB
Comments