Assalamualaikum KC,
Saya Khairul dari Kajang, Selangor. Pengalaman ini berlaku semasa sama belajar di Penang. Saya tinggal di rumah sewa bersama rakan-rakan. Pernah satu hari saya tertidur pada waktu petang selepas pulang dari kelas, saya tidur atas sofa di ruang tamu seorang diri. Saya bermimpi ada seekor ular hitam yang panjang masuk ke dalam rumah keluarga saya dan menuju ke arah saya dan adik-adik saya. Dalam mimpi itu, kami memanjat kerusi sebab takut ular itu menyerang kami. Ular itu seperti masuk ke dalam rumah untuk menyerang kami. Saya cuba melindungi adik-adik saya, jadi saya menolak mereka untuk berada di belakang saya.
Kemudian ular itu datang di depan saya dan cuba untuk mematuk. Saya cuba menghalang, dan saya terkena patukan di jari tengah tangan kanan. Saya terkejut dan terjaga dari tidur sambil menggosok-gosok jari saya sebab kesakitan dan badan saya dari posisi tidur terus terduduk masa itu. Masa saya terjaga, jari saya masih ada terasa sakit. Saya termenung dan terfikir macamana rasa sakit itu boleh terasa sedangkan saya dipatuk dalam mimpi.
Selepas kejadian itu, saya rasa sakit-sakit sendi badan, terutama bahagian pinggang dan tulang belakang. Tiap kali saya solat, rasa sakit itu semakin kuat dan saya jadi susah hendak rukuk dan sujud sebab terlalu sakit, sampaikan air mata saya mengalir. Saya musykil apa yang berlaku. Saya ada seorang kawan yang tahu serba-sedikit dalam perihal Ruqyah dan meminta bantuannya.
Apabila berjumpa dengan kawan saya, dia pun cuba melihat keadaan saya menerusi kaedah bacaan surah-surah Ruqyah. Kemudian dia kata dia ternampak ada tompok-tompok kecil berwarna hitam di hujung kaki saya dan meminta saya pergi berubat dengan ustaz yang lebih mahir sebab dia tidak mampu lakukan. Pada mulanya saya tidak pergi pun sebab sibuk dengan pelajaran dan badan yang tidak larat.
Sebulan selepas itu, saya mimpi lagi ular tersebut datang masuk ke dalam rumah. Saya, ibu, adik dan abang saya lari naik ke tingkat atas masuk ke dalam bilik dan panjat atas katil. Saya nampak ular itu masuk terus mengejar kami naik atas dan cuba serang kami. Saya tidak tahu tiba-tiba di dalam tangan saya ada sebilah parang. Semasa ular itu hendak mematuk, saya terus libas parang dan ular itu terbelah dua. Ular itu tidak mati tapi bertebaran keluah dari rumah walaupun badan terbelah dua. Selepas tu, saya sudah tidak rasa sakit-sakit badan dan boleh solat seperti biasa.
Saya ada dengar seorang ustaz bercerita yang sihir boleh berlaku dalam mimpi dan juga boleh dimatikan dalam mimpi juga dengan bantuan dan izin Allah. Apa yang berlaku itu, menjadi persoalan adakah saya telah disihir? Ini kerana keluarga saya sudah hampir sepuluh tahun disihir saudara sendiri, terutama ibu saya yang lebik dahsyat dan saya akan kongsikan apabila ada masa terluang.
Terima kasih KC dan Assalamualaikum...
Comments