top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Disergah Ketika "Night Walk"...

Assalamualaikum KC,

Saya seorang peminat rancangan Malam Seram dari Johor. Pengalaman yang hendak saya ceritakan ini berlaku di salah sebuah tapak perkhemahan yang terletak di Melaka semasa sekolah saya ketika itu (sewaktu saya di sekolah rendah) mengadakan acara perkhemahan. Saya tak boleh sebut nama kem ini kerana setiap minggu akan ada sekolah-sekolah yang mengadakan perkhemahan di tapak kem tersebut.

Ceritanya begini. Sekolah saya mengadakan acara perkhemahan selama dua hari satu malam. Semasa malam tersebut, telah berlangsungnya acara segmen berjalan-jalan atau "Night Walk". Seramai empat puluh orang termasuk guru-guru, instruktor kem dan pelajar telah melakukan aktiviti tersebut. Jadi, pelajar-pelajar telah dibahagikan kepada lima buah kumpulan. Setiap kumpulan ada lapan orang. Abang-abang instruktor dah pesan kalau ada apa-apa yang berlaku mesti pegang tali. Perjalanan ini sepanjang 800 meter.

Pelajar-pelajar dilepaskan seramai dua orang sekali serentak. Selepas lat satu minit, baru kumpulan yang kedua akan dilepaskan. Punyalah seram pada malam itu dengan suasana yang gelap-gelita. Kawan sebelah pun boleh tak nampak. Kami pula tidak dibenarkan membawa lampu suluh. Hanya membawa badan dan diri masing-masing sahaja. Acara ini untuk melatih dan menguji tahap keberanian kami. Maklumlah ketika itu umur kami baru saja dalam sebelas atau dua belas tahun sahaja.

Semasa giliran kami (saya dan kawan), bulu roma saya dah meremang. Darah saya sudah mula berderau. Masa itu dalam hati saya hanya mampu mengucap kalimah istighfar sahaja. Yang abang-abang instruktor pula berpesan, jangan tunggu atau kejar orang lain sebab pernah menjadi kes, yang ditunggu atau dikejar itu bukan kawan, tapi benda lain. Faham-faham sajalah.


Masa mula-mula bergerak, saya di hadapan kawan saya. Saya pun pegang tali yang disediakan. Tiba-tiba, masa dekat sebatang pokok, saya ada terperasan macam ada benda berbungkus melompat-lompat antara satu pokok ke satu pokok lain tetapi tidak nampak wajahnya (pokok yang saya maksudkan ada dua, satu depan dan satu di belakang. Jarak antara pokok tersebut lebih kurang dua meter).


Sewaktu sampai di pokok yang berada di hadapan, saya dengan kawan saya mencari tali yang dipaku pada pokok tersebut. Punyalah seram semasa sedang mencari tali di pokok itu sebab benda itu berhenti betul-betul di belakang pokok tersebut. Abang-abang instruktor juga telah berpesan, kalau takut kami harus membuat laungan seperti bunyi amaran ambulans kuat-kuat sebab mereka juga ada menyamar menjadi hantu (Cekik darah kan?).


Saya pun jeritlah kuat-kuat. Macam nak putus urat leher saya. Tapi bila saya perhatikan makhluk itu, dia macam perhatikan kami. Nasib baiklah cari punya cari, jumpa juga tali itu. Saya apa lagi, pecut meninggalkan kawan saya. Bila kami sampai di penghujung, saya pun ceritalah pada kawan-kawan yang lain. Mereka berkata yang mereka tidak ada nampak apa-apa pun. Namun bila saya ceritakan pada salah seorang kawan saya, dia pun memberitahu yang dia ada ternampak juga. Yang lain semua cakap "tak nampak pun"!


Jadi, apa yang saya dan kawan saya nampak? Yang abang-abang instruktor yang menyamar jadi hantu itu saya tahu sebab mereka cuba takut-takutkan kami dengan menyergah atau menyentuh dari tepi atau belakang. Kalau yang sentuh itu bukan mereka, saya pun tak tahulah. Sebab masa itu memang saya tidak disentuh tetapi disergah. Itulah pengalaman yang saya hendak ceritakan. Maaflah kalau anda tidak faham apa yang saya ceritakan atau kurang seram.


Sekian saja dari saya...

360 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page