Assalamualaikum KC,
Nama saya Syiqah. Kisah ini berlaku pada tahun 2010. Ia berlaku di kawasan Jurong West street 42 ketika kami hadir ke satu sesi barbeku kelolaan bekas teman lelaki saya. Di kawasan situ ada tempat untuk berbarbeku.
Semasa kami berada di sana, sahabat saya Nana berkata beliau dan arwah kawan saya, Sha, ingin berjalan-jalan di sekitar blok berhampiran. Saya pula tidak mengikut. Setelah jam hampir pukul 12 tengah malam, Nana memberitahu bahawa beliau ingin pulang dahulu. Lima minit kemudian, saya terima panggilan dari Nana. Apabila saya menjawab telefon, kedengaran Nana sedang menangis teresak-esak. Saya dan Sha mula panik. Kami lari ke blok berhampiran dan mencari di mana Nana berada.
Hampir sepuluh minit kami berpusing-pusing mencari Nana baru kami ternampak dia berlari ke arah kami. Dia memeluk saya dan menangis . Saya tanya apa yang berlaku dan dia memberitahu bila dia sedang jalan hendak pulang menuju ke arah perhentian bas, tiba-tiba dia rasa penglihatannya gelap gelita dan bila dia pusingkan kepalanya, dia ternampak seperti sosok pocong berdiri di hadapannya! Nana terus pengsan dan kami bawa beliau ke tempat barbeku untuk lihat keadaannya.
Ada beberapa makcik dan pakcik cuba lihat keadaan Nana. Tidak lama kemudian, Nana mula sedar dan tiba-tiba dia terpekik dan meronta-meronta serta mengeluarkan suara yang sangat garau. Saya dan Sha terkejut bila mendengar suaranya. Saya, Sha, bekas teman lelaki saya dan kawannya duduk di bangku hujung sambil memutarkan surah-surah suci. Pekikan Nana masih kedengaran, saya memandang Sha di sebelah saya. Yang peliknya, Sha sedang menutup telinganya dan menghayun badannya ke depan dan ke belakang beberapa kali seperti ada yang tidak kena. Bila teman-teman di situ memanggil Sha, tiba-tiba dia mula terpekik dan meronta-ronta. Teman-teman di situ cuba mengawalnya, saya pula dibawa ke taman permainan bersebelahan jauh sikit dari mereka. Saya disuruh fokus dan kuatkan semangat.
Dalam keadaan yang genting itu, saya mula merasa seperti ada sesuatu yang menguasai tubuh badan saya. Saya mula menangis dan ketawa. Dipendekkan cerita benda yang ada di dalam badan saya adalah bayi perempuan kembar kerana saya diberitahu yang saya berkelakuan seperti bayi yang manja dan hanya inginkan lelaki sahaja untuk menemani saya. Sha pula telah dirasuk oleh kakak pada bayi-bayi kembar ini tapi benda ini secara alami memang bisu. Memang Sha tidak bercakap apa-apa cuma memberi isyarat jari dan memek muka. Nana pulak dirasuk oleh kedua ibu dan bapa makhluk ini sebab itu ia degil tak nak keluar. Bapa saya datang dengan seorang tukang perubatan. Saya dan Sha dipulihkan dengan segera oleh beliau. Nana pula diuruskan oleh keluarga beliau. Pakar perubatan kami memberitahu bahawa makhluk-makhluk yang merasuk kami adalah sebuah keluarga yang mati dalam satu kebakaran dan roh-roh mereka trlah dikhadamkan oleh seorang bomoh. Namun setelah dia tidak mahu berurusan dengan makhluk-makhluk ini, mereka dilepaskan di kawasan berdekatan. Rupa-rupanya Sha memberitahu bahawa Nana telah menegur sesuatu yang dia lihat seperti paku besar yang terpacak di tanah dan telah memijak paku itu. Mungkin paku itu dipacak untuk menghalang mahkluk-makhluk ini berkeliaran. Wallahu'alam... Sekian Terima Kasih...
コメント