top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Dikejar Makhluk Ketika "Night Walk"...



Selamat malam,


Nama saya As, berasal dari Johor. Saya ada beberapa cerita yang nak saya kongsikan dari apa yang pernah terjadi pada saya. Pada usia saya 16 tahun sekitar 12 tahun yang lalu, saya ada mengikuti acara perkhemahan sekolah yang dianjurkan oleh guru-guru untuk pelajar dari Kadet Remaja Sekolah. Maaf saya tak boleh sebutkan di mana kem tersebut diadakan sebab mungkin nanti saya dikenali oleh pihak kem dan pihak sekolah.


Seramai 27 orang pelajar yang pergi ke acara perkhemahan tersebut, termasuk 3 orang guru yang mengawasi kami. Kami menaiki bas yang disediakan oleh pihak sekolah. Dalam perjalanan ke kawasan perkhemahan, kami berkaraoke dan menyanyi beramai-ramai. Setibanya di kawasan perkhemahan, terasa seronok sebab jarang-jarang sekali berada di kawasan yang nyaman dan sejuk. Kawasan perkhemahan terletak di salah sebuah hutan simpanan di Malaysia.


Dipendekkan cerita, malam yang dinantikan iaitu malam di mana aktiviti "Night Walk" diadakan pun tiba. Sebelum bertolak, kami diberi taklimat dahulu. Seperti lazimnya sewaktu diberi taklimat, kami wajib mematuhi arahan dan yang buat kami seram, kami diberi setiap seorang sehelai kain untuk menutup mata. Permainan "Night Walk" dimulakan dengan pecahan setiap kumpulan ada 3 orang, jadi secara keseluruhan ada 9 kumpulan. Saya berada dalam kumpulan ke-6 untuk masuk ke kawasan hutan. Kami berjalan bertiga di kawasan gelap dan setiap kumpulan dibekalkan satu sahaja lampu suluh yang kecil.


Di setiap laluan akan ada hentian dan pada setiap perhentian akan ada sehelai kain yang diikat. Sepanjang perjalanan ada tali yang akan kami pegang waktu di dalam hutan. Saya, Maya dan Siti (bukan nama sebenar) mulakan perjalanan dengan jantung yang berdebar. Kami dikehendaki bernyanyi untuk mengawasi jarak kami dan kumpulan di depan dan belakang dalam jarak yang sedikit jauh antara satu dengan lain. Jika tidak, kami dikira kalah dan tak akan diberi sebarang markah.


Kami mulakan perjalanan ke dalam hutan, saya berada di belakang dan dua orang kawan saya di depan, tangan kiri memegang tali yang menjadi tanda arah jalan dan tangan kanan memegang bahu kawan saya di depan. Lagu-lagu yang dibenarkan untuk kami dendangkan hanya tiga sahaja, dimulakan dengan lagu "Rasa Sayang". Lima minit setelah kami mulakan perjalanan, kami terjumpa hentian pertama. Kawan saya memberitahu bahawa dia terpegang secebis kain dan kain tersebut diambil dari tali dan kami teruskan perjalanan.


Lagu kedua yang harus kami dendangkan selepas hentian pertama adalah lagu "Enjit-Enjit Semut". Perjalanan ke hentian kedua mengmbil masa sekitar 15-20 minit. Tali yang kami pegang sebagai penanda arah semakin meninggi ke atas sampai kami dapat rasakan ia berada di atas kepala kami. Saya bertanya pada Maya dan Siti samada betul atau tidak tali yang saya pegang ini pada paras kepala, mereka mengiyakan.


Tiba di hentian kedua, Maya harus membuka kain yang berada di atas. Maya berkata beliau mengalami kesukaran untuk membuka kain tersebut kerana kurang tinggi. Terpaksa saya yang lebih tinggi antara ketiga-tiga kami, bantu dan mengambil kain tersebut. Kerana sukar untuk membuka kain yang dikhaskan untuk kumpulan kami, saya melanggar arahan dan membuka kain yang dikhaskan untuk kumpulan lain. Ya Allah gelap gelita di sekeliling jadi saya guna lampu suluh untuk membantu dan mengambil kain di atas.


Rupanya kami berada di sebuah pokok yang rendang tapi besar, membuatkan bulu roma saya meremang. Saya menyuruh kawan-kawan saya membuka penutup mata untuk melihat kawasan di mana kami berada. Maya seolah-olah teruja dan terpinga-pinga tapi Siti macam hendak menangis ketakutan. Saya tak buang masa lalu mencabut kain dari tali. Semasa saya mencabut kain, Maya memanggil saya beberapa kali tetapi saya tidak endahkan sebab sibuk dapatkan kain yang berada di paras yang tinggi. Tiba-tiba Siti bersuara, "Eh korang dengar tak suara budak sedang menangis?" Saya terus memberitahu Siti agar jangan cakap yang bukan-bukan dan jangan menegur kerana kami berada di dalam hutan. Selesai mendapatkan kain, mata kami ditutup kembali dan kami teruskan untuk ke hentian selanjutnya.


Lagu ketiga yang kami dendangkan membuatkan kami lebih meremang iaitu lagu "Nenek, Nenek Si Bongkok Tiga". Nyanyi berulang-ulang sampai di hentian terakhir, kedengaran bunyi desiran air terjun di sebelah kiri kami. Tiba-tiba Siti yang berada di tengah-tengah menegur kerana dia terdengar suara mengilai dari arah sungai. Saya pun menepuk bahunya dan mengingatkannya supaya diam. Suasana menjadi lebih menyeramkan lagi sebab saya berada paling belakang sekali dan dapat mendengar suara keempat bernyanyi lagu ketiga ini dengan suara yang sangat sayu.


Ya Allah berderau jantung saya menggigil dibuatnya bila nyanyian kami diikut sama. Rupanya Siti dan Maya juga mendengar apa yang saya dengar, sebab Siti nyanyi dengan nada seolah-olah hendak menangis dan Maya pula telah berhenti bernyanyi. Saya menolak Siti supaya dia berjalan laju sedikit sehingga hentian terakhir. Maya terus mendapatkan kain terakhir dan saya terpaksa memberitahunya supaya cepat membuka kain di hentian itu kerana saya rasa ingin berlari saja dan beredar dari situ.


Saya tak dapat menahan diri, lantas saya membuka penutup mata. Saya cuba memandang sekeliling. Alangkah terperanjatnya saya apabila mata saya terpanah pada satu arah dan meremang terus bulu roma saya kerana terlihat susuk tubuh yang rendah berpakaian lusuh dan seolah-olah berbongkok. Saya tepuk-tepuk Maya dan Siti supaya cepat beredar dari kawasan itu. Pandangan saya tertumpu lagi ke arah yang sama dan terlihat makhluk itu sedang menuju ke arah kami. Saya memberitahu mereka bahawa ia sedang mengejar kami, seraya itu, makhluk itu memekik kuat hinggakan Siti menangis ketakutan. Maya pula berteriak, saya pula kelam-kabut kerana ketakutan kami sesat.


Alhamdulillah kami sampai di tempat berkumpul. Salah seorang guru lelaki menghampiri dan membacakan beberapa ayat suci untuk menenangkan Siti. Saya bertanya pada guru sama ada makhluk itu merupakan sesuatu yang dirancang oleh mereka untuk merancakkan permainan kami, beliau berkata tidak sama sekali. Kerana kurang percaya dengan penjelasannya, saya bertanya pada anggota kumpulan yang lain, tetapi mereka berkata yang mereka tidak mengalami pengalaman yang sama. Siti demam selama seminggu selepas itu kerana ketakutan.


Insya Allah lain kali saya akan berkongsi pengalaman saya sebagai anggota paranormal. Maaf kisah saya ini terlalu panjang. Terima kasih kerana membacanya. Selamat Malam Seram!!!

366 views0 comments

Recent Posts

See All

Comentários

Avaliado com 0 de 5 estrelas.
Ainda sem avaliações

Adicione uma avaliação
bottom of page