Assalamualaikum dan Selamat Malam Seram pada KC dan para pembaca blog sekelian. Jangan sebut nama di emel saya. Cerita saya tidaklah seram sangat. Suami saya diganggu waktu dalam perjalanan pulang setelah menjemput saya dari salah sebuah chalet di kawasan Pasir Ris.
Ceritanya begini. Kejadian ini terjadi pada awal bulan Oktober tahun 2018. Dipendekkan cerita, setelah suami datang menjemput saya, dibawa ronda-ronda sebelum pulang ke rumah. Saya tak perasan pada awalnya sebab leka main permainan video "Candy Crush" di telefon bimbit. Saya perasan suami berhenti dari bergerak rupanya waktu itu lampu trafik berwarna merah. Tiba-tiba suami berkata sesuatu pada saya.
"Sayang, sinilah tempat yang KC pernah ceritakan iaitu Old Tampines Road, yang waktu itu KC ceritakan terdapat gangguan pada sesiapa yang lalu dekat kawasan perhentian bas yang berdekatan dengan sebuah kuil..." Saya terus berhenti sebentar dari bermain permainan video dan tengok sekeliling kawasan jalan Old Tampines Road bila suami mula bergerak selepas lampu bertukar menjadi warna hijau.
Saya tidak berhenti bertanya dan berbual dengan suami tentang kisah yang pernah KC ceritakan kepada pendengar bila lalu di tempat itu. Memang di kiri kanan banyak pokok-pokok besar dan tak banyak kenderaan yang lalu di situ. Saya berkata pada suami, "Sayang, gelap kan tempat sini dan sunyi sangat..." Suami diam saja sebab sedang menggerakkan motor yang ditunggang, dia cuma anggukkan kepala sahaja.
Saya ingat selepas itu akan terus pulang rupanya tidak. Suami saya ajak saya pergi ke tempat bangunan lama syarikat MediaCorp di kawasan Bukit Caldecott / Andrew Road. Kawasan itu dikelilingi rumah-rumah banglo yang besar dan mewah. Suami perlahankan motor supaya semasa itu boleh kami berdua bercakap-cakap. Suami saya berkata, "Situ ada tangga. Kalau berani naik lah tempat gelap..." Saya pun menepuk belakang badannya dan balas balik kata-katanya, "Kalau Sayang berani sangat, Sayanglah pergi dulu..."
Selepas itu suami bertanya pada saya, "Nak pergi tengok Masjid Omar Salmah?" Saya pun balas, "Boleh jugalah..." lalu terus bergerak ke sana. Semasa pergi ke sana, memang sunyi sangat tak ada kenderaan lain kecuali saya dan suami. Setelah sampai di masjid, nampak sunyi kerana dah ditutup, cuma nampak lampu di bahagian luar saja dibiarkan hidup. Saya tengok sekeliling memang gelap tapi tak rasa apa-apa lalu berkata pada suami, "Sayang, dahlah kita balik okay..." Suami balas, "Dah tengokkan keadaaan sekeliling, sunyi kan?" Saya senyum saja tapi tetap memandang sekitar kawasan itu.
Semasa dalam perjalanan pulang masa itulah suami saya diganggu. Saya tidak tahu apa yang terjadi tetapi saya perasan semasa menunggang motor, lampu trafik pada masa itu bertukar warna merah tanda untuk berhenti, tapi masa itu, nasib baik suami ada di laluan sebelah kiri dan bergerak perlahan melalui Lornie Road.
Suami saya rasa seperti ditolak di bahagian belakang badannya dan terasa khayal seketika. Suami hampir-hampir bergerak terus dan tidak hiraukan lampu merah. Saya pun terpekik sekejap dan suami tersedar lalu membelok ke laluan kiri. Suami pun beristighfar dan hentikan enjin motor lalu terus membaca ayat-ayat suci. Keadaan dah reda semula baru suami bergerak.
Saya jadi senyap dan menggigil sekejap selepas apa yang terjadi pada awalnya. Saya bertanya pada suami apa yang telah terjadi. Beliau hanya diam sahaja tapi mulutnya tidak berhenti membaca. Saya tidak tahu apa yang dibaca kerana terlalu perlahan sangat untuk saya mendengar. Dalam perjalanan saya tidak perasan daerah mana suami terasa macam berat nak bergerak pada motornya. Suami perlahankan motor dan terus berhenti bahagian kiri menyuruh saya turun dari motor. Saya jadi hairan dan bertanya lagi kenapa beliau berhenti? Suami diam dan menggelengkan kepala saja, lalu ambil air botol yang selalu ada dibawa bersama.
Saya terdengar suami bercakap tapi agak perlahan, "Ohhh kau nak ganggu aku kan? Jangan harap okay?" lalu selepas membaca surah pada air botol yang dipegang tadi dia, terus minum sedikit dan menyapu pada muka lalu merenjis-renjis pada motor di semua bahagian. Suami menyuruh saya minum sedikit air dari botol yang sudah dibaca olehnya dan menyuruh saya membaca Selawat ke atas Nabi Muhammad (sollallahu 'alaihi wasallam...) tiga kali sebelum minum.
Kejadian itu bukan berhenti setakat di situ saja. Dalam perjalanan balik ke rumah suami tidak berhenti membaca. Setelah selamat sampai di tempat meletak kereta pada pukul hampir 12 tengah malam, suami masih diam. Bila ditanya, mulutnya masih tak berhenti membaca surah. Bila naiki lif pun masih lagi membaca. Bila berada di depan rumah, kami tidak terus masuk. Suami membaca surah Ayatul Kursi. Setelah habis dibaca, terus ambil kunci dan masuk ke dalam rumah sambil memberi salam. Suami menyuruh saya mandi dan gunakan air sejuk. Sebelum mandi baca Ayatul Kursi sebanyak tiga kali. Begitu juga suami buat yang sama.
Selepas mandi, suami baring di atas katil, tiba-tiba dia terasa meremang bulu roma. Saya datang dekat padanya sambil berkata, "Hah... tulah suka sangat kacau kan? Sendiri kena kacau..." Suami hanya tersenyum saja. Sambil cuba lenyapkan mata, tapi mulutnya tidak berhenti membaca dan terus tertidur. Saya pula baring di sebelahnya sambil mendengar rancangan radio kelolaan KC menggunakan alat fon telinga. Sempat juga dengar hehehe...
Selamat Malam semua! Wassalam!
コメント