top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Diganggu Setelah Menyimpan Tangkal

Assalamualaikum KC,


Saya Hairil. Saya ingin menceritakan pengalaman ketika pakcik saya terkena gangguan di Batu Pahat. Mungkin cerita saya ini tidaklah seram pada pembaca blog Malam Seram, tetapi mungkin dapat memberi pengajaran kepada masyarakat di luar sana. Kisah ini terjadi pada sekitar sepuluh tahun yang lepas. Untuk pengetahuan semua, pakcik saya, Wak Lan, merupakan seorang bekas anggota tentera. Semasa beliau masih lagi dalam perkhidmatan, beliau ada menyimpan tangkal bertujuan untuk menguatkan semangat dirinya ketika sedang membuat misi. Ini kerana pakcik saya seorang yang amat takut dengan darah.


Pada hari kejadian selepas azan Maghrib, Wak Lan secara tiba-tiba bersilat sambil tangannya membuat gerak-geri seperti seekor ular. Risau dengan apa yang berlaku, anak Wak Lan, Ijam, iaitu sepupu saya, menelefon mak saya dan adik-beradik mak saya yang lain termasuklah seorang ustaz. Ketika Wak Lan diberikan rawatan oleh ustaz tersebut, tangan Wak Lan masih lagi membuat gerak-geri seperti seekor ular. Episod Wak lan bersilat berterusan selama seminggu. Berbagai cara Ustaz sudah buat untuk memulihkan Wak Lan tapi keputusannya tetap sama.


Sehinggalah pada satu hari, mak saya membawa Wak Lan ke Pusat Rawatan Darul Syifa’ dan ketika itulah Wak Lan mengaku beliau ada menyimpan tangkal di dalam rumahnya. Tanpa membuang masa, mak saya menelefon saya yang ketika itu berada di rumah sedang mengulangkaji pelajaran bersama-sama Ijam untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tidak lama lagi. Ketika Wak Lan dihantar ke pusat perubatan tersebut, rumahnya dibiarkan kosong kerana tiada sesiapa yang berani untuk berada di situ kerana takut akan terkena gangguan.


Mak saya menyuruh saya dan Ijam mencari tangkal tersebut di dalam rumah Wak Lan sampai jumpa. Tanpa berlengah lagi, saya dan Ijam memberanikan diri dan terus ke rumahnya. Selepas sampai ke rumah Wak Lan, kami berdua memulakan dengan membaca Ayat Kursi sebelum memulakan pencarian. Satu rumah kami berdua cari dari ruang tamu, bilik Wak Lan, bilik anak-anak beliau sehinggalah ke dapur tetapi kami gagal menemui tangkal tersebut. Berjam-jam juga kami cari tetapi gagal.


Sehinggalah saya diberitahu oleh mak yang Wak Lan menyimpan tangkal tersebut di dalam biliknya. Saya dan Ijam teruskan lagi misi pencarian tangkal tersebut. Ijam memulakan pencarian dengan menggeledah almari bapanya. Kami berdua mengeluarkan laci yang ada dan mengeluarkan semua barangan yang terdapat di dalam laci tersebut tetapi masih lagi gagal. Kami kemaskan balik laci dan almari tersebut dan mengambil keputusan untuk berehat sebentar. Penat dibuatnya. habis berpeluh satu badan kami walhal kipas berada betul-betul di atas kepala kami. Rimas rasanya.


Misi pencarian diteruskan lagi, kali ini saya pula yang geledah almari yang sama. Apabila saya cuba untuk menarik laci yang ada di almari tersebut, saya ternampak tangkal tersebut berada di dalam laci itu, walhal sebentar tadi Ijam sudahpun menggeledah laci dan mengeluarkan semua barang yang ada di dalam laci tetapi tidak jumpa langsung. Bila tiba giliran saya mencari di dalam laci yang sama, saya hanya menarik laci itu keluar dari almari dan terus ternampak tangkal tersebut. Kecut perut kami dibuatnya.


Dengan segera, saya terus menelefon mak saya untuk mengatakan yang kami sudahpun menjumpai tangkal tersebut. Saya masih lagi ingat bagaimana bentuk tangkal itu. Tangkal bersaiz ibu jari orang dewasa sahaja, di dalamnya ada buluh yang dipotong kecil bersama-sama dengan tiga biji bola kecil yang dibalut dengan kain berwarna kuning dan diikat dengan benang berwarna merah. Selepas menelefon mak saya, sebaik saja saya mematikan telefon, secara tiba-tiba bulu roma saya dan Ijam meremang dan ada angin sejuk yang lalu di dalam bilik tersebut, walhal bilik tersebut panas Naudzubillah walaupun sudah dihidupkan kipas. Kecut perut kami dibuatnya, kami terus berlari meninggalkan rumah Wak Lan.


Keesokan harinya ketika saya sedang mengulangkaji pelajaran di dalam bilik saya, saya terdengar seperti ada orang yang sedang memakai kain berlari ke arah tandas. Bilik saya berada di dapur dan bersebelahan dengan tandas, jadi kalau setiap kali ada orang ke tandas, saya akan tahu. Saya sangkakan bapa saya yang berlari ke tandas kerana beliau memang suka memakai kain pelikat di rumah, jadi saya pun biarkanlah.


Selepas beberapa minit, saya menjadi hairan. Kenapa pergi tandas tidak hidupkan lampu? Kebiasaannya kalau ada yang pergi tandas pada lewat malam, mestilah akan hidupkan lampu. Tetapi kali ini tidak. Saya cuba memberanikan diri, keluar dari bilik, hidupkan suis lampu di dapur dan terus ke tandas. Ya Allah, tiada sesiapa berada di dalam! Kerana ketakutan, saya terus lari masuk ke dalam bilik mak saya dan tidur di atas lantai tanpa menyambung semula mengulangkaji pelajaran.


Dipendekkan cerita, Alhamdulillah Wak Lan beransur pulih. Walaupun sudah semakin sihat, tetapi sedih saya melihat keadaan beliau. Dulunya beliau seorang yang peramah, sekarang beliau lebih suka menyendiri. Dulu beliau seorang yang bertubuh gempal, sekarang beliau sudah kurus. Dulu beliau seorang yang suka menyakat anak-anak buah beliau termasuk saya, tetapi sekarang tidak lagi. Sedih sangat saya melihat Wak Lan.


Itu saja cerita saya, maaf cerita ini tidak menyeramkan.

Assalamualaikum dari saya, Hairil...

868 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page