Assalamualaikum dan selamat malam,
Kisah yang ingin saya kongsikan ini berlaku ketika saya menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi di Malaysia. Kejadian ini berlaku pada tahun 2017.
Peristiwa ini terjadi ketika saya dan dua orang sahabat perempuan saya yang lain, iaitu May dan Amira keluar dari kediaman universiti tersebut untuk makan malam di luar, sekaligus menyambut hari lahir sahabat saya. Kami keluar dari universiti tersebut sekitar dalam jam 7 malam.
Selesai makan malam di luar, kami pun bergerak untuk kembali semula ke kampus. Sahabat saya, May yang memandu kereta ketika itu, mengambil keputusan untuk melalui satu jalan yang agak sunyi, terutama waktu malam walaupun terdapat perumahan di kawasan jalan tersebut. Jalan tersebut juga merupakan jalan untuk menuju ke kawasan penjara di sini.
Dipendekkan cerita, ketika kami melalui jalan tersebut, hanya kenderaan kami sahaja yang ada. Dalam beberapa minit kemudian, kami tiba di satu kawasan yang dikelilingi hutan, di mana di sekelilingnya tiada satu buah rumah pun. Semasa melalui kawasan tersebut, tiba-tiba kami disapa dengan bunyi hon dari motosikal di belakang kenderaan kami. Saya yang duduk di tempat duduk belakang segera menoleh ke tingkap kanan kereta dan melihat ada sebuah motor yang ditunggang seorang pakcik, yang kini ada di sebelah kanan kereta kami.
Saya melihat pakcik tersebut sedang melihat atas bumbung kereta kami sambil-sambil melihat kami.
Saya yang ketika itu agak pelik dengan kelakuan pakcik tersebut segera bertanya kepada dua orang sahabat saya tentang kelakuan pelik pakcik tersebut. Sahabat saya yang bernama Amira pula hanya menyuruh saya tenang saja. Pakcik tersebut terus memandu di sebelah kami sekitar lima minit.
Kemudian, kami tiba di kawasan perumahan orang kampung dan pakcik tersebut kini berada di hadapan kenderaan kami tetapi beliau sempat menoleh ke arah kenderaan kami sebelum beliau belok ke arah simpang yang bertentangan dengan simpang yang ingin kami tuju. Saya terus bertanya sahabat saya, kenapa agaknya dengan pakcik itu. Sahabat saya pula hanya buat endah tak endah dengan persoalan saya itu. Tidak lama kemudian Amira yang duduk di hadapan menghentikan siaran radio yang ketika itu sedang berkumandang dengan lagu-lagu Inggeris.
Dalam sekitar jarak 500 meter dari universiti, tiba-tiba kedengaran suara lelaki ketawa dalam kereta kami! Kami tidak endahkan suara tersebut kerana ingatkan itu suara DJ radio tersebut. Suara ketawa tersebut masih kedengaran dan kemudian baru kawan saya berkata yang radio dah dimatikan, dari mana bunyi suara itu datang? Kami masih tidak endahkan suara ketawa tersebut sehingga kami sampai ke kampus dan balik ke bilik masing-masing.
Keesokan paginya, sahabat saya bernama Amira menceritakan kepada kami berdua yang semasa dia tidur di bilik, dia terperasan yang katil sebelah yang sepatutnya kosong kerana teman sebiliknya pulang ke kampung, ada seorang perempuan berambut panjang dan berpakaian putih sedang baring membelakanginya. Dia yang melihat sosok tubuh tersebut hanya berkata supaya tidak mengganggunya dan teruskan menyambung tidur.
Terima kasih,
-Syuu-
Comments