top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Diekori Nenek Tua Pulang...

Assalamu'alaikum Warahmatullahi wabarakatuh,


Saya ingin berkongsi satu kisah yang masih saya ingat sampai ke hari ini. Kisah ini berlaku pada saya agak lama dahulu. Kalau tak silap saya, terjadinya kisah ini pada tahun 2013. Waktu itu saya sedang menuntut di Institusi Teknikal Singapura atau lebih dikenali dengan nama singkatan ITE. Umur saya waktu itu masih muda remaja. Agak-agak umur saya pada waktu itu dalam lapan belas tahun. Ketika itu saya dipilih untuk mewakili sekolah untuk satu acara yang cukup besar. Jadi, dalam jangka waktu tersebut di mana saya perlu menghabiskan waktu saya di sekolah untuk merancang acara tersebut bersama rakan-rakan dan guru-guru yang terlibat sama dalam acara tersebut.


Dipendekkan cerita, oleh kerana terlalu sibuk dengan fasa perancangan dan sebagainya, sehinggakan saya terpaksa pulang lewat malam hampir setiap malam untuk beberapa minggu. Kadang-kadang, saya sampai rumah dalam pukul 10 malam dan paling lewat saya pernah pulang sekitar pukul 12 tengah malam. Sekolah saya dari rumah saya. Saya menuntut di ITE Central yang terletak di Ang Mo Kio, sedangkan saya pula tinggal di kawasan Bukit Panjang. Seringkali, mak nasihatkan juga. Katanya, "Janganlah balik malam sangat. Tak baik selalu sangat balik malam. Kau tu perempuan. Tak elok balik malam..."


Saya pun berkata, "Alah mak. Bukannya Sue sengaja nak balik lewat. Ada acara sekolah penting ni. Lagipun Sue buat perancangan dan persiapan acara pun dengan kawan-kawan dengan cikgu...". Mak pun tak boleh nak berkata apa lagi sebab dah menjadi satu tanggungjawab dan kewajipan bagi saya. Apa yang mak saya boleh lakukan hanyalah mendoakan keselamatan saya setiap hari. Mak saya orangnya kalau selagi anak tidak pulang, dia tidak akan tidur. Dia akan tunggu dan jenguk di tingkap untuk menantikan saya pulang. Kalau saya tak pulang pukul 12 tengah malam, waktu itu jugalah dia tidak akan masuk tidur.


Satu malam, saya sedang berjalan hendak pulang ke rumah. Dari tingkap dapur rumah, mak akan selalu jenguk untuk menantikan saya, agar boleh nampak saya setiap kali pulang kerana di situlah arah yang saya akan selalu gunakan untuk pulang ke rumah. Di sebelah belakang saya adalah hutan setebal-tebalnya. Kadang-kadang tatkala saya gunakan laluan tersebut di malam hari, memang seram juga. Oleh kerana saya dah tinggal di situ sejak saya kecil lagi, maka sudah menjadi satu kebiasaan bagi saya dan ahli keluarga yang lain.


Berbalik kepada kisah, sewaktu saya berjalan hendak pulang ke rumah, saya menerima satu panggilan dari mak. Saya jenis tak suka hendak mengangkat telefon. Lagi-lagi kalau saya berada di luar. Memang jarang saya akan angkat. Orang yang kenal rapat dengan saya akan faham dengan perangai saya dan selalunya, mereka hanya akan hantarkan kiriman mesej atau pesanan dari Whatsapp kepada saya, melainkan kalau penting sangat, barulah mereka akan menelefon saya.


Kali pertama saya terima panggilan dari mak saya pada malam itu, saya tidak endahkan. Saya tak angkat sebab pertama, saya dah nak sampai rumah pun. Yang kedua, saya tahu mak saya mesti dah tunggu di tingkap jadi mesti dia dah nampak saya dan tahu yang saya dah nak pulang ke rumah. Kemudian, mak telefon lagi untuk kali kedua. Kali kedua ini pasti ada sesuatu yang penting kalau tidak, takkan mak saya asyik telefon saja. Jadi kali kedua ini saya pun mengangkat panggilan dari mak saya.


Saya pun bertanya, "Ye mak. Dah nak sampai rumah dah ni. Dah dekat bawah dah ni. Kejap lagi sampai lah..."


Saya boleh dengar suara mak saya seolah-olah macam terketar-ketar.


Mak saya berkata: "Jangan balik dulu. Jangan naik atas dulu..."


Saya pun bertanya: "Lah Mak... Orang penat ni... Apa pulak jangan naik atas dulu...?"


Mak saya pun berkata: "Tak... Dengar cakap mak. Pergi beli roti kat kedai bawah dulu. Lepas dah beli roti semua baru naik atas rumah..."


Sebenarnya saya rasa marah. Dahlah sedang penat. Baru balik dari sekolah seharian. Disuruh pula pergi beli roti. Dalam fikiran saya berkata, "Alah besok pun boleh beli roti apa?" Nak tak hendak, saya pun pergi juga sebab mak saya dah suruh. Saya pun pergi beli roti dan apa yang patut di kedai bawah blok saya lalu saya pun naik atas pulang ke rumah. Sampai saja di depan pintu, mak saya buka pintu dan matanya seolah-olah sedang memerhatikan ke arah belakang saya. Mak saya berkata dengan nada tegas, "Masuk rumah terus cuci kaki. Ambil wuduk semua..."


Saya pun lakukan apa yang disuruh oleh mak. Dalam hati, saya tahu mesti ada sesuatu yang tidak kena kerana wajah mak nampak pucat sekali. Selepas mengambil wuduk, mak memberitahu saya, "Mulai dari esok, kalau hendak balik malam lagi, Mak tunggu kat bawah..."


Saya pun bertanya, "Mak, kenapa Mak? Tiba-tiba aje ni? Habis muka mak pucat tadi..."


Katanya, sewaktu saya sedang dalam perjalanan untuk pulang, dia ternampak seolah-olah di belakang saya ada seorang nenek tua sedang berjalan mengekori saya dari belakang! Nenek itu tua sangat, rambutnya putih merebang, kemudian jalannya membongkok dan jalannya perlahan sekali.


Ketika Mak sedang menceritakan apa yang dia nampak, pintu rumah saya kedengaran diketuk berkali-kali. Waktu itu saya tengok dah pukul 11 lebih malam. Saya memang tidak berani hendak tengok siapa yang berdiri di balik pintu. Sebab selepas mak saya ceritakan, bulu roma saya dah mula meremang. Mak pergi ke arah pintu dan tengok menerusi lubang pintu. Saja nak melihat siapa di balik pintu. Mak terlihat nenek yang sama sedang berdiri dan mengetuk pintu. Mak saya baca beberapa surah dan mak saya mengarahkan saya supaya memutarkan bacaan ayat-ayat suci sepanjang malam itu.


Mulai malam itu, setiap kali saya pulang lewat malam kerana acara sekolahu, Mak akan tunggu saya di bawah dan kami akan sama-sama naik pulang ke rumah.


Sekian, terima kasih KC...


Sue

186 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page