Selamat malam KC,
Saya Det, berasal daripada Sabah Malaysia. Saya tinggal di kawasan pedalaman Sabah. Banyak cerita yang pernah saya dengar di sekitar kawasan perumahan saya sebelum pengalaman yang akan saya ceritakan ini terjadi pada saya diri saya sendiri, namun saya tidak percaya hinggalah pada suatu malam pada tahun 2014. Kisah ini terjadi pada salah satu hujung minggu. Kebiasaannya kami adik-beradik akan tidur di ruang tamu dan menonton televisyen sampai ke lewat malam. Mak dan bapa tidur awal sebab saya ada adik kecil berumur lima bulan.
Pada malam tersebut adik saya tidur awal di ruang tamu dan tinggallah saya seorang diri menonton televisyen. Lepas satu rancangan, saya sambung lagi ke rancangan seterusnya. Memang pada malam itu saya tidak rasa mengantuk jadi saya teruskan menonton. Sedar tidak sedar, jam menunjukkan pukul 3 pagi. Mata dah mula agak mengantuk. Saya pun baring.
Sedang saya baring dan cuba untuk lelapkan mata, dalam keadaan sunyi, tiba-tiba saya dengar sayup-sayup bunyi bayi menangis. Tapi saya tak endahkan. Sebab dalam fikiran saya mungkin adik kecil saya tapi dalam masa yang sama, saya terfikir kenapa suara bayi itu datang daripada luar rumah? Saya rasa sesuatu tidak kena tapi saya tetap fikir positif dan cuba tidur walaupun mata sudah terbuka luas sebab sudah mula rasa takut.
Bunyi suara bayi menangis itu dapat didengar selama lebih kurang beberapa saat lamanya tapi lama-kelamaan bunyi suara bayi itu seakan-akan menjauh. Tiba-tiba saya terdengar bunyi suara seperti seorang lelaki tua batuk betul betul di luar tingkap rumah. Saya dapat rasakan degupan jantung saya semakin laju.
Sekitar beberapa minit berjaga-jaga, tidak ada sebarang bunyi susulan. Saya mengambil keputusan untuk cuba tidur semula. Namun baru saya hendak lelapkan mata, tiba-tiba dentuman kuat dan berkali-kali dapat saya dengar dari pintu depan rumah serta bunyi suara seorang perempuan sedang ketawa dalam keadaan sinis. Saya diam dan tidak membuka pintu dan pada masa yang sama saya dapat terhidu bau hanyir. Saya tidak dapat tidur sampai ke pagi.
Selepas dua hari kejadian itu berlaku, saya menceritakan kepada bapa saya. Dia pun beritahu saya bahawa dia pun pernah dengar bunyi ayam keliling rumah. Mungkin benda itu cuba bagi tahu yang dia ada di persekitaran rumah kami.
Terima kasih sebab mengetengahkan kisah saya...
Comentários