top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Bunyi Batu Dicampak Ke Tingkap Bilik Tidur

Assalamualaikum KC,

Saya Rina. Saya ada pengalaman peribadi yang ingin saya kongsi bersama para pembaca blog Malam Seram. Saya tinggal di kawasan barat Singapura, berdekatan dengan Brickland Road. Kejadian yang terjadi pada saya berlaku pada bulan November tahun 2017. Ketika itu, saya belum lagi mempunyai kerja tetap. Jadi kerja seharian saya di rumah semasa ibu bapa bekerja waktu pejabat adalah mengemas rumah, sidai kain dan bermacam lagi.


Jadi pada satu malam, saya memang jenis suka tidur lewat dalam pukul 3 atau 4 pagi dan semua ahli keluarga saya dah pun masuk tidur dalam bilik masing-masing. Saya mempunyai seorang adik perempuan dan seorang adik lelaki. Biasalah, bilik perempuan berasingan dengan adik lelaki tetapi pada malam itu saya tidur seorang diri kerana adik saya tidur bersama ibu dan bapa saya, jadi saya ambil kesempatan untuk tidur lewat.


Saya selalunya tidur lewat kerana menonton televisyen dan drama melalui YouTube di kaca televisyen saya. Cuma pada malam itu, saya tidak menonton melalui televisyen, saya menonton drama melalui telefon bimbit saya. Saya suka hidupkan lampu ruang tamu dan dapur kerana saya secara lazimnya akan rasa ketakutan dengan suasana yang gelap. Cuma ketika tidur sahaja saya dah terbiasa dan suka tidur dalam gelap. Pelik kan?


Tepat pukul 3 lebih pagi, saya pun dah mula rasa mengantuk. Saya pun masuk ke dalam bilik tidur saya. Lampu ruang tamu semua dah dimatikan. Selalunya, saya akan masuk bilik tidur, tutup pintu bilik sambil mengucap “Bismillah”. Katil saya betul-betul terletak di sebelah tingkap. Apabila saya hendak tidur dan hampir-hampir lelapkan mata, tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi tingkap saya diketuk seperti ada orang yang mencampakkan batu dari bawah ke atas!


Saya tinggal di tingkat tiga dan di belakang blok saya merupakan taman kecil. Siapa yang mencampak batu pada tengah-tengah malam buta ketika itu? Dalam hati berkata, “Mana ada orang eh?” Bukan sekali kedengaran bunyi di tingkap itu tetapi ada dalam tiga atau empat kali. Akhirnya saya beranikan diri walaupun saya rasa meremang dan amat takut. Saya selak langsir dan lihat tidak ada apa-apa, terus saya ambil bantal peluk dengan selimut dan selubung seluruh tubuh saya termasuk muka sekali kerana ketakutan.


Pada keesokan harinya, saya beritahu pada ibu bapa saya dan kami sekeluarga menunaikan solat Maghrib berjemaah bersama dan bapa saya merenjis air yang telah dibaca dengan ayat-ayat suci Al-Qur'an pada empat penjuru di dalam bilik saya. Alhamdulillah selepas hari itu, tidak ada apa-apa perkara yang aneh berlaku di dalam rumah saya.


Sekian wassalam dan terima kasih!


Rina

299 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page