Assalamualaikum KC,
Saya Myra ingin menceritakan sebuah kisah semasa saya bekerja di sebuah pusat membeli-belah di Johor Bahru. Saya bekerja di pusat membeli-belah di bahagian pawagam. Memang di sini saya selalu mendengar pekerja yang sudah lama bekerja di sini bercerita tentang kisah-kisah seram yang mereka pernah lalui. Saya bukan hendak cakap besar, tetapi saya jenis yang kuat semangat dan bekerja untuk mencari rezeki. Jadi saya buat tak endah cerita sebegitu.
Sudah seminggu saya bekerja pada syif sebelah pagi, giliran saya bertukar kepada syif petang sehingga ke tengah malam. Pada tengah malam dalam jam 12.45 pagi, selepas pelanggan terakhir pulang dan saya juga sudah mengemas untuk pulang, tinggal tunggu masa sahaja untuk pulang ke rumah. Saya bersama rakan saya Ain, sedang berborak-borak dan kami terdengar suatu suara seperti tayangan filem dimainkan di dalam salah sebuah bilik panggung pawagam. Saya bersama rakan saya ini bekerja di bahagian makanan di luar bilik pawagam, jadi amat jelas sekali kedengaran bunyi suara itu.
Ain: "Myra, kau dengar tak?"
Saya: "Ya aku dengar..."
Memandangkan saya ini seorang yang kuat semangat, saya pun mula bangun dari tempat duduk saya dan ingin masuk ke dalam bilik panggung yang terdengar bunyi tayangan filem itu.
Ain: "Myra kau nak ke mana?"
Saya: "Aku nak masuk periksa lah, apa lagi?"
Ain: "Jangan cari pasal lah..."
Saya: "Bukan cari pasal, aku nak tengok je..." Ain: "Kalau macam itu aku ikut sekali, takut apa-apa terjadi pada kau..."
Kami berdua memberanikan diri masuk ke dalam bilik panggung pawagam itu. Kami masuk ke dalam tetapi tiada tayangan pun ditayangkan. Kami hidupkan lampu dan hendak tahu tak apa kami nampak? Kami nampak seorang perempuan sedang duduk di tempat duduk tengah di dalam bilik panggung pawagam itu. Saya terlalu kuat semangat sehingga ingin turun lagi anak tangga untuk melihat wanita itu walaupun saya sudah tahu itu mahkluk apa.
Ain berbisik pada saya: "Myra, kau nak ke mana? Kau jangan berani sangat nak turun..."
Saya: "Kalau kau tak nak turun, kau tunggu sini. Aku nak tengok..."
Ain: "Aku ikut..."
Kami pun menghampiri wanita itu dan saya memberanikan diri bertanya. "Cik ni siapa? Kalau rasa ini bukan tempat Cik, Cik boleh pulang..."
Perempuan itu tidak memberikan sebarang jawapan. Ain sudah sibuk menarik tangan saya untuk naik balik dan keluar dari situ. Setelah beberapa saat, lampu di bilik pawagam itu dimatikan dengan sendirinya. Saya dan Ain berlari naik ke atas. Sedang kami berlari tiba-tiba lampu menyala kembali dan perempuan itu sudah hilang dari situ. Saya dan Ain meneruskan langkah keluar dari bilik panggung pawagam itu. Keesokan harinya, saya menceritakan pada rakan sekerja yang lain. Rupanya mereka juga mengalami situasi yang sama ketika menjaga tempat makan di luar bilik panggung pawagam di tengah malam.
Terima kasih dan selamat tengah malam...
Comments