top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Bercakap Dengan Hantu?

Selamat malam KC dan para pembaca blog Malam Seram,


Nama saya Khan. Pakcik dah berumur tetapi masih bekerja sebagai pengawal keselamatan di salah sebuah condo eksklusif di Damansara. Kejadian ini berlaku bukan di tempat bertugas, tetapi berlaku di rumah kediaman saya yang juga terletak di daerah Damansara. Damansara memang banyak tempat dan kawasan yang luas. Kejadian ini berlaku lebih kurang lima tahun dahulu.


Nak dijadikan cerita, pada malam kejadian lebih kurang pukul 2.30 pagi, saya terasa gelisah dan sukar hendak lelapkan mata semula setelah terkejut dari tidur. Saya tertidur awal ketika itu sebab dalam rangka bercuti. Sebulan terus bekerja tanpa cuti. Ada peluang cuti, ambil saja, sebab tempat kerja saya sukar nak ambil cuti, kerana saya bekerja syif sebelah malam. Kalau cuti pun, jika ada masalah, terpaksa juga turun ke tempat kerja bila rakan sekerja yang lain tidak dapat selesaikan masalah di kondo. Enam belas orang yang bertugas sebelah malam, kebanyakan orang luar, bukan tempatan.


Hendak lelapkan mata semula susah sangat, saya turun ke bawah ambil angin sambil layan sebatang dua rokok. Rumah saya tingkat satu, dan unit yang kedua dari tangga paling tepi. Malam kejadian agak sunyi. Turun tangga sambil menyalakan puntung rokok. Sampai di tingkat bawah, saya toleh ke kanan dan menuju ke tangga tengah, Masa itu saya ternampak seseorang perempuan sedang berdiri menyandar badan ke dinding, Dalam hati tertanya, buat apa pula malam buta begini perempuan ini duduk seorang diri di bawah?


Saya berjalan menuju ke arah perempuan itu dan menyapa, "Ambil angin ke kak?" Dia memandang saya sambil berkata, dalan loghat Indonesia, " Bukan Pak, mahu minta tolong pada yang boleh tolong saya..." Dalam hati saya tertanya, tolong apa pula malam-malam buta begini. Perasaan ingin tahu apa yang hendak ditolong itu berlegar di kepala. Saya berkata padanya, "Kan siang lebih senang, boleh jumpa kawan minta tolong, malam orang tidur..." Dia membalas, "Siang saya gak bisa keluar, Pak. Malam aja yang bisa keluar..." Dalam masa yang sama kebetulan dua orang warga Bangladesh yang tinggal di kawasan perumahan pakcik lalu di situ sambil berkata, "Uncle cakap dengan saya kah?" Saya jadi hairan tetapi sempat membalas, "Saya tanya ini perempuan, bukan lu lah, Bai..."

Warga Bangladesh yang menanyakan soalan kepada saya awal tadi tampak terkejut. Dia berkata, "Mana ada perempuan, Uncle? Itu tangga pun Uncle ingat perempuan kah?"

Dengan nada yang agak kasar saya membalas, "Ini perempuan depan lu punya mata, lu tak nampakkah?" Kedua-dua orang warga Bangladesh itu mentertawakan saya lalu beredar dari situ. Apabila saya toleh semula, perempuan tadi sudah tidak kelihatan. Mungkin pada saya, dia telah beredar juga.


Namun beberapa ketika kemudian, terdengar salah seorang warga Bangladesh itu menjerit sekuatnya dan lari lintang-pukang. Saya tertanya dalam hati, apa hal pula dengan mereka, terkena rasuk ke? Dalam keadaan tertanya-tanya itu, tiba-tiba perempuan itu datang semula kepada saya sambil berkata, "Pak, itu dua orang memang tak nampak aku... Bapak jangan takut, aku tak ganggu orang, itu orang aku kacau sebab dia cakap bapak gila, jadi aku tampar dia punya kepala dan pipi, dan bagi dia nampak muka aku, itu sebab dia menjerit dan lari..." sambil tersenyum dan berlalu pergi.


Seram sejuk seluruh badan saya seperti rasa darah berderau dari kepala ke kaki. Saya seperti dalam keadaan terpinga-pinga dan takut pada waktu yang sama. Betul ke saya bercakap dengan hantu? Biar betul, pontianak yang kadangkala saya terlihat di tempat kerja pun tak mengganggu atau menyapa saya. Di kawasan rumah pula boleh bercakap dengan hantu. Dengan rokok yang belum habis dihisap, saya terus matikan puntungnya, buang ke dalam tong sampah dan dengan pantas pulang ke rumah. Mujur tiada gangguan lain pada malam itu. Sehingga kini kejadian ini menjadi satu misteri buat diri saya.


Sekian terima kasih...

243 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page