Assalamualaikum KC,
Saya Aiman berasal dari Brunei ingin menceritakan satu kisah yang terjadi semasa ibu saya dirawat di Hospital Ripas. Pada malam itu saya dan anak buah saya baru habis melawat ibu saya yang sakit. Kami diarahkan untuk pulang kerana tidak dibenarkan untuk tidur menemani mana-mana pesakit yang berada di dalam wad tersebut. Sewaktu kami menunggu lif hendak turun ke bawah dari tingkat 3 ke lobi, kami terperasan ada seorang perempuan datang dari arah sebelah kiri saya dan ikut menunggu lif.
Sesudah masuk ke dalam lif, kami menekan butang tingkat lobi manakala perempuan tersebut menekan butang tingkat dua. Sampai di tingkat dua, perempuan itu keluar dari lif tetapi dia dalam keadaan seperti tidak keruan. Rasanya dia tersalah tekan tingkat butang jadi dia cuba untuk masuk kembali ke dalam lif tersebut tetapi tidak sempat kerana pintu lif sudah tertutup. Kami tidak dapat buat apa-apa melainkan berdiri dan berasa bersalah kerana tidak dapat buat apa-apa kerana terlewat untuk tekan butang membuka pintu lif. Sudah sampai di tingkat satu, pintu lif terbuka kembali tetapi yang menghairankan kami, wanita yang sama berada di luar pintu lif tersebut!
Kami pun tidak tahu nak buat apa, dan mengambil keputusan untuk keluar dari lif tersebut dan menggunakan tangga. Kami tergelak terbahak-bahak kerana bagi kami pada masa itu, benda yang terjadi itu agak kelakar dan mencuitkan. Tapi kami tidak perasan yang kami telah turun satu lagi tingkat dari lobi ke lantai yang paling bawah iaitu lantai bilik mayat.
Kami pun apa lagi lari lintang-pukang, buka langkah seribu naik semula ke lobi dan terus menuju ke kereta untuk pulang ke rumah. Dalam perjalanan kami terpaksa melalui jalan yang mempunyai dua kawasan tanah perkuburan Islam yang berbeza. Kami tidak dapat melalui jalan alternatif kerana itulah jalan untuk pulang ke rumah. Yang membuatkan kami takut, kami tercium bau bunga cempaka yang mengekori kami dari kawasan bilik mayat hinggalah ke dalam kereta kami!
Sewaktu kami melintasi kedua-dua tanah perkuburan Islam tersebut, bau bunga cempaka masih lagi menemani kami sehinggalah kami melintasi salah sebuah masjid yang berada di kawasan itu. Barulah saya memberanikan untuk menegur tentang bau bunga cempaka kepada anak buah saya. Dia memberitahu saya bahawa dia pun tercium bau bunga tersebut. Kami pun terus menukar stesen radio kepada stesen agama, di mana berkumandangnya bacaan surah-surah suci orang yang sedang mengaji. Setelah beberapa minit dalam perjalanan, barulah kami terasa lega dan bau bunga cempaka itu pun hilang.
Terima kasih dan selamat tengah malam!!!
Comentários