top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Ayat Pengasih Memikat Makhluk Lain...

Salam KC,


Saya Fifi, berasal dari Selangor. Kisah ini berlaku sewaktu saya masih di sekolah menengah. Sekarang umur saya lingkungan 30-an tahun. Kerana ingin mendapatkan perhatian dari orang ramai, kawan-kawan, guru dan teman-teman berlawan jantina untuk jadi kekasih, saya telah mengamalkan satu ayat pengasih.


Yang saya maksudkan ayat pengasih ini sebenarnya sama seperti ubat guna-guna. Cuma ayat pengasih sebenarnya lebih senang nak digunakan dan tiada kesan sampingan dan tak terlalu menonjol sampai orang akan terperasan. Fungsinya mudah, hanya untuk buat orang sekeliling saya suka berkawan dengan saya, senang dengan kehadiran saya dan jika ada kekasih, dia akan setia dan mengasihi saya.

Caranya pun cukup mudah, hanya perlu membacanya terus menerus setiap hari. Jumlah bacaan pula tak tentu, saya baca 200 kali sehari, ada juga 7 kali sehari tapi yang pasti terus menerus membaca setiap hari. Selama bertahun-tahun saya amalkan ayat pengasih itu, semua berjalan lancar sampailah satu hari ayah memanggil saya.

"Kakak, Ada tak kakak amalkan sesuatu bacaan setiap hari sepanjang setahun dua ni?"

Saya pun selamba menjawab, "Ada ayah, ayah marah?"

Ayah bertanya lagi, "Macamana kakak amalkan?"

"Terus menerus baca setiap hari tanpa bilangan tertentu..." kata saya.


"Dah berapa lama hafal?"


"Dalam 2 tahun.."


"Ayat apa?"

Kemudian, Saya mula membaca ayat yang jadi tajuk perbualan kami tadi.

Ayah Tanya lagi..

"Ayat pengasih?"


Sebenarnya ayah memang seorang yang banyak membaca buku ilmu agama dan bermacam buku serta bahan bacaan yang lain. Dia juga pengamal hafazan ayat-ayat suci Al-Qur'an. Dia juga tahu banyak tentang amalan-amalan yang biasa ditulis di buku tentang tujuan bila mengamalkan ayat tertentu. Selain itu, dia juga tahu berkenaan banyak ayat yang berasal dari negara jiran untuk tujuan tertentu seperti untuk kebal, berani, perang, kaya dan bertujuan membunuh orang.

Berbalik kepada ayat yang saya amalkan sebagai ayat pengasih, rupa-rupanya telah terjadi suatu hal di rumah yang mana saya sendiri tidak pernah tahu. Ayah ceritakan semuanya yang terjadi kepada saya pada malam itu. Kehadiran makhluk lain telah mengganggu ayah saya. Bermula hampir setahun lalu, setelah saya amalkan ayat pengasih itu, ayah sering ternampak kelibat seperti 'saya' berjalan di dalam rumah. Walhal saya sebenarnya berada di sudut lain di dalam rumah. Misalnya semasa saya di dapur, ayah nampak saya berjalan keluar dari pintu rumah, malah anak saudara saya yang baru pandai berjalan mengekori kelibat itu dari belakang kerana sangkakan itu saya.

"Jangan ikut cu, itu bukan Mak Teh..." kata ayah saya, lalu memanggil saya yang berada di dapur. 


Pernah juga ayah nampak kelibat itu menuju bilik saya dan selepas itu, ayah ternampak saya menonton televisyen di ruang tamu. Setelah sering kejadian serupa itu terjadi di dalam rumah, ayah arahkan saya berhenti membacanya. Setelah kisah itu berlaku agak lama, baru saya tahu kenapa ayah suruh saya berhenti membaca ayat pengasih yang menjadi amalan selama bertahun-tahun.


Saya pernah terbaca di internet bahawa ayat yang saya baca itu memang mujarab untuk jadi ayat pengasih. Tetapi bila membacanya sebagai amalan, bukan saja manusia di sekeliling akan sayang dan suka pada si pengamal. Makhluk lain juga akan suka dan akan mengekori si pengamal sampai akan berupa seperti pengamal kerana makhluk itu sayang dan tak mahu berpisah dari si pengamal ayat itu.

Kini dah lebih 10 tahun peristiwa amalan itu terkubur, namun makhluk itu masih di dalam rumah saya hingga kini dan kadangkala terdengar bunyi seperti ada orang di bilik saya, berjalan-jalan di dalam bilik sedangkan saya tiada di rumah.


Kenapa saya cakap makhluk itu masih ada di rumah? Saya sendiri telah ternampak satu makhluk menjenguk saya sewaktu saya di tandas. Saya nampak muka yang sangat hitam dengan mata seperti mata kucing yang disuluh lampu pada malam hari, ada sinar tetapi tak menyuluh. Mukanya seperti bayang-bayang hitam yang ada mata bulat dan bercahaya. Selepas saya memanggil suami, tiba-tiba makhluk itu hilang. Tapi saya tahu, dia masih ada, mungkin dia jenguk sebab sayalah punca dia datang menetap di rumah saya.


Saya pasti, ramai orang yang tahu akan kewujudan ayat yang saya katakan tadi, tapi nasihat saya, jika sampai mengganggu ahli keluarga yang lain, hentikanlah. Jangan buat orang lain susah disebabkan kita.


Terima kasih dari saya Fifi dari Selangor...

2,106 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page