Assamualaikum KC,
Maaf jika cerita saya ini tidak menyeramkan dan agak panjang. Tetapi saya harap ia dapat memberi pelajaran dan pengajaran kepada pembaca blog Malam Seram supaya tidak mengambil atau menyimpan sesuatu yang bukan milik anda. Nama gelaran saya Nur dan kejadian ini berlaku beberapa bulan setelah saya berumahtangga pada tahun 2016.
Pada satu hari, saya dan keluarga pergi berkunjung ke Perkuburan Islam Pusara Abadi untuk mengunjungi kubur ibu dan ahli kelularga yang telah pergi meninggalkan kami terlebih dahulu. Jadi saya, suami, ayah saya serta kakak saya dan anak-anaknya pergi menaiki van. Kami pergi sekitar jam dua belas tengah hari. Setelah mengunjungi kubur ahli keluarga, kami semua menaiki van yang dipandu suami untuk pulang ke rumah.
Ketika suami saya sedang memandu, ayah saya yang duduk di hadapan bersebelahan tempat pemandu terlihat wang kertas sepuluh dolar Singapura di tengah jalan raya antara kubur-kubur baru. Ayah saya menyuruh suami saya berhentikan van untuk seketika. Lalu, ayah turun dari van dan mengambil wang kertas tersebut. Untuk pengetahuan semua, tiada yang mencurigakan tentang wang kertas tersebut kerana ia adalah wang dolar baru Singapura dan tiada tulisan atau sebagainya pada wang tersebut seperti kisah-kisah yang pernah KC bacakan sebelum ini.
Oleh kerana tiada sesiapa di kawasan itu untuk kami kembalikan wang tersebut, ayah pun mengambil keputusan untuk menyimpan wang sepuluh dolar tersebut dan menganggapnya sebagai rezeki. Sekembalinya di rumah, ayah memberi wang kertas itu kepada saya. Kisah yang menyeramkan bermula pada malam harinya.
Ketika saya sedang nyenyak tidur di dalam bilik bersama suami pada tengah malam, sekitar jam satu pagi, saya dan suami terjaga dari tidur kerana terasa kepanasan sehingga berpeluh-peluh walaupun kipas di dalam bilik telah dihidupkan ke tahap maksimum. Waktu itu kami rasa seperti tidur di dalam bilik sauna. Pada waktu itu juga saya dan suami dikejutkan dengan bunyi tombol pintu yang dipusing-pusingkan beberapa kali seperti seseorang cuba membuka pintu yang dikunci dari dalam.
Pada masa itu saya masih lagi tinggal bersama ayah saya di estet perumahan lama di kawasan Yishun. Jadi tombol pintu bilik adalah jenis lama yang bulat dan kalau dipusing-pusingkan beberapa kali dari luar ketika bilik dikunci dari dalam, bunyinya sangat kuat. Lantas, saya dan suami sama-sama melihat ke arah pintu. Saya fikirkan ayah atau kakak saya cuba kejutkan saya di waktu malam kerana ada kecemasan atau sebagainya.
Saya pun bersuara,"Siapa tu? Ada apa?". Senyap. Tidak bersahut. Saya dan suami cuba tidur semula. Bunyi tombol pintu itu berbunyi lagi. Ketika itu saya sedang baring membelakangkan pintu dan suami pula sedang baring memandang ke arah pintu. Kerana bunyi tombol pintu yang dipusing-pusingkan beberapa kali itu sangat kuat, ditambah dengan suhu bilik yang panas, saya mula naik berang.
Saya cakap pada suami, "Siapa pulak yang main dengan pintu malam-malam ni, nak apa?!" dalam keadaan marah. Saya cuba untuk pusingkan kepala saya ke arah pintu dan ingin bangun dan membuka pintu. Waktu itu, suami dengan pantas memeluk saya dan berkata dengan nada berbisik sambil matanya terbeliak melihat ke arah pintu, "Jangan tengok pintu! Jangan buka! Tidur! Tidur!" Jadi saya pun berkata pada suami, "Huh? Kenapa yang?" Saya jadi bingung dan tidak faham kenapa suami tiba-tiba berkata begitu sambil memeluk bahu saya dan menekan pipi saya untuk tidak memusingkan kepala memandang ke arah pintu. Jadi tanpa banyak soal, saya pun akur dan melelapkan mata kerana terlalu kepenatan.
Pada keesokan paginya, saya berjumpa dengan kakak saya di dapur ketika dia sedang memasak di dapur. Saya bertanya jika dia ada cuba untuk membuka pintu bilik saya malam semalam. Katanya tidak! Kakak saya terus menanyakan saya jika saya ada terdengar sesuatu di malam hari sekitar jam satu pagi. Saya jadi terperanjat dan menceritakan apa yang saya alami pada malam itu kepada kakak. Kakak memberitahu saya, dia terasa meremang kerana dia juga terdengar sesuatu seperti di luar bilik tidur saya pada malam itu dan tidak berani untuk memandang ke arah pintu bilik saya kerana bilik kami bertentangan.
Saya jadi musykil. Jika bukan ahli keluarga saya yang cuba membuka pintu kamar saya pada malam itu, siapa pula? Saya lantas menghubungi suami saya untuk bertanyakan apa yang dia nampak di pintu kamar kami sampaikan dia tidak membenarkan saya pusing memandang pintu atau membenarkan saya untuk membukanya. Suami berkata, "Hmm... Ada... Ada...", seperti cuba menyembunyikan sesuatu dari saya. "Tak ada apa-apalah. Jangan fikirkan lagi pasal tu..." suami menasihati saya. Tapi saya sangat pasti suami ada terlihat sesuatu. Dia tidak mahu memberitahu saya kerana tidak mahu saya rasa takut.
Kemudian saya teringat tentang wang kertas yang kami terjumpa yang masih ada di tangan saya. Saya rasa meremang bila terlihat wang kertas itu. Lantas, saya memulangkan kembali wang tersebut kepada ayah saya dan menyuruhnya memulangkan kembali wang kertas tersebut ke tanah perkuburan tempat kami terjumpa wang tersebut. Setelah ayah pulangkan kembali wang tersebut, tiada lagi gangguan dan bilik tidur kami pun tidak lagi terasa bahang seperti malam tersebut.
Yang menjadi tanda tanya saya sehingga kini, apa sebenarnya yang menganggu dan apa yang suami saya terlihat malam itu kerana sehingga hari ini dia masih tidak mahu memberitahu saya apa yang dia terlihat...
Sekian dan terima kasih...
Comments