Assalamualaikum KC,
Nama yang diberi Adam. Kisah yang saya alami ini berlaku di rumah semasa saya berada di rumah bersama orang gaji saya sahaja di rumah. Situasi bermula semasa semua anggota keluarga saya pergi keluar bercuti di Terengganu kecuali saya sebab saya hendak hadapi peperiksaan, jadi terpaksa saya duduk di rumah mengkaji pelajaran.
Sekitar pukul 10 hingga 11 malam masa itu saya berada di bilik ibu bapa saya, sambil melihat aplikasi media sosial di telefon bimbit saya. Memang sedang asyik memantau apa yang terjadi di kalangan teman-teman saya di aplikasi media sosial yang tersebut. Beberapa ketika kemudian, saya terperasan seperti ada benda sedang perhatikan saya dari celah-celah pintu bilik air di dalam bilik ibu bapa saya!
Saya terfikir, "Mungkin itu adik aku agaknya bermain dengan air...", jadi saya pun pergi periksa bilik air yang sedang gelap itu. Alangkah peliknya, tidak ada orang pun di dalam. Hati saya terus menjadi panas, terfikir benda bukan-bukan tetapi saya tenangkan diri dan berkata, "Mungkin khayalan aku saja tadi..." Maklumlah, masa itu saya sibuk membelek-belek telefon bimbit serta pantau media sosial.
Alang-alang berada di dalam bilik air tersebut, saya pun mengambil wuduk sebelum mendirikan solat Isyak. Selepas melaksanakan solat, saya berdoa sambil duduk dalam posisi tahiyat akhir. Kedudukan saya pada masa itu, memang ada cermin besar di hadapan saya. Sedang berdoa, tiba-tiba saya ternampak melalui cermin, ada budak kira-kira berumur dalam lingkungan empat tahun dan berbaju hijau, sedang berlari melintas depan pintu bilik ibu bapa saya!
Jelas ternampak budak itu berlari sambil bergelak ketawa menerusi cermin itu. Sehabis saya berdoa, saya pun periksa tempat yang saya nampak budak itu berlari sebab saya sangkakan itu adik saya. Namun setelah diperiksa, saya tidak nampak siapa-siapa pun di sana. Bulu roma saya terus tegak berdiri sebab takut dan rasa pelik pada waktu yang sama. Masa itu saya di tingkat atas, orang gaji pula berada di bilik bawah sedang tidur.
Sehingga kini kejadian yang terjadi pada malam itu menjadi satu misteri untuk diri saya. Ibu bapa saya pergi bercuti dan adik saya pula berada di rumah saudara yang lain. Jadi apa dan siapa yang saya nampak pada waktu itu? Adakah itu penunggu rumah?
Sekian, terima kasih!
Bình luận